Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bersedia untuk ke penjara demi mengelak Malaysia dilanda krisis seperti Sri Lanka.
Walau bagaimanapun, beliau berkata sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersedia ke penjara ekoran hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
“Saya bersedia untuk ke penjara kerana memberikan amaran supaya Malaysia tidak menjadi seperti Sri Lanka.
“Tetapi adakah Najib bersedia untuk ke penjara kerana mencemarkan nama negara di seluruh dunia sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Najib yang juga bekas Presiden Umno pada Julai 2020 didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Reaksi Kit Siang hari ini selepas Sri Lanka menghadapi krisis ekonomi yang teruk sejak negara itu gagal membayar hutang luar negerinya pada 12 April 2022.
Minggu lalu, Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dilapor berkata negaranya menerima AS$160 juta daripada Bank Dunia.
Katanya lagi, Sri Lanka bakal menerima geran daripada Bank Pembangunan Asia tidak lama lagi.