Dalam proses pemilihan pucuk pimpinan PKR yang sudah di penghujung sekarang, satu perkara yang ketara dan perlu diberi perhatian ialah berkenaan peratusan keluar mengundi yang terlalu rendah.
Secara purata dilaporkan peratusan keluar mengundi di kebanyakan cabang adalah sekitar lapan peratus dan ada pula di beberapa cabang yang hanya empat peratus saja yang keluar mengundi.
Hanya di Selangor ada peningkatan dalam peratusan yang keluar mengundi di mana terdapat cabang yang mencecah antara 20 hingga 25 peratus.
Setakat ini, masih ada lapan cabang belum selesai mengadakan pemilihan berikutan diarah mengadakannya semula atas pelbagai sebab teknikal.
Setelah lapan cabang itu selesai mengadakan pemilihan semula, barulah keputusan rasmi mengenai pemenang semua jawatan akan diumumkan oleh JPP atau Jawatankuasa Pemilihan Parti.
Kenapa peratusan keluar mengundi terlalu rendah?
Apakah ahli-ahli PKR yang mencecah lebih sejuta orang semuanya tidak teruja dalam proses pemilihan kali ini?
Kalau ahli-ahli PKR ternampak sudah tidak teruja dan malas keluar mengundi dalam pemilihan parti sendiri, apakah mereka turut lesu dan tidak mengundi juga dalam PRU15 akan datang nanti?
Jika begitu, bagaimana PKR dan PH mahu menang PRU15 nanti dan membolehkan Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri?
Di sebalik kembalinya semula Rafizi Ramli ke kancah politik sehingga menyebabkan riuh rendah di media sosial antara penyokong dan penentangnya, peratusan keluar mengundi yang rendah ini tentu saja menimbulkan banyak persoalan dan tanda tanya.
Apakah peratusan keluar mengundi yang rendah itu kerana ramai ahli-ahli PKR jadi bosan dengan pertelingkahan dalaman dan kecam-mengecam sesama sendiri yang ternampak begitu berlebih-lebihan?
Selepas keputusan nanti, sama ada Rafizi atau Saifuddin Nasution Ismail yang memenangi pertandingan, siapakah yang lebih mampu menarik perhatian dan membuatkan ahli-ahli PKR sendiri keluar mengundi dalam PRU15 kelak?
Kalau ahli PKR sendiri tidak berjaya ditarik untuk keluar mengundi, bagaimana pimpinan mahu meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi dan menyokong mereka?
Apa pun persoalannya, yang nyata, cabaran bagi pimpinan baru, termasuk Anwar yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, adalah sangat besar selepas pemilihan ini dan menuju PRU15 yang dijangka tidak berapa lama lagi.
Sesuatu harus dilakukan dengan pantas dan meyakinkan jika PKR masih ada impian untuk menjadi kerajaan dan menguasai Putrajaya.
Pimpinan baru nanti tidak boleh berlengah lagi dalam memulakan gerak kerja, sekaligus merawat segala luka dalam pemilihan yang telah berlalu.
Gagal menarik ahli-ahli PKR sendiri keluar mengundi dan tidak berjaya membuatkan mereka teruja untuk memenangi PRU15 bermakna tipislah juga peluang untuk melihat rakyat dan pengundi atas pagar mengundi PH.
Gagal semua itu, maka lupakanlah impian dan harapan untuk menerjah bintang dalam PRU15 akan datang.
Meskipun dijangka tiada parti yang mampu menang majoriti kerusi secara sendirian dalam PRU15 akan datang dan rundingan masih diperlukan untuk menubuhkan kerajaan, tetapi memenangi jumlah kerusi yang banyak dan munasabah adalah asas untuk memulakan apa jua perbincangan.
Dengan tiada kerusi munasabah mampu dimenangi, jangankan mahu menjadi kerajaan, untuk diajak berunding oleh pihak lain pun tentu saja tidak lagi dalam keutamaan.