Tular di media sosial memaparkan sebuah rumah flat yang diubahsuai menjadi sebuah rumah teres sehingga mengundang kritikan netizen yang menegaskan tindakan tuan rumah tersebut adalah salah di sisi undang-undang.
Menerusi hantaran seorang lelaki dikenali sebagai Fairuz Daneen di group FB B40 Buat Perangai Apa Hari Ini, dia berkongsikan sekeping gambar yang memaparkan dua biji rumah flat yang siap diubahsuai sehingga menjadi sebuah rumah teres.
Difahamkan, flat tersebut terletak di Taman Dato Harun, Petaling Jaya, Selangor. Rata-rata netizen hairan bagaimana tuan rumah mendapat kebenaran untuk melakukan pengubahsuaian sedemikian rupa.
“Ini rare. Biasa orang kawasan rumah flat ini tingkat bawah je curi tanah renovate sambung rumah. Ni siap rumah yang tingkat 2 pun sambung rumah jugak.
“Ini B40 kayangan tuan-tuan. Pemikiran luar kotak,” tulis Fairuz Daineen.
Susulan itu ada yang menganggap tindakan tersebut sebenarnya berbahaya kerana struktur bangunan tidak boleh diubahsuai sesuka hati. Mereka juga mempersoal sama ada pihak berkuasa tempatan sedar akan perkara itu atau tidak.
Bagaimanapun ada netizen yang memberitahu bahawa sesiapa yang mempunyai rumah di bahagian bawah, sebenarnya sudah mendapat kebenaran untuk melakukan pengubahsuaian dan meluaskan kawasan rumah asalkan tidak menutup saluran longkang.
“Siapa yang duduk sini je tahu. Semua rumah bawah dah dapat kebenaran renovation untuk luaskan bawah janji tak tutup saluran longkang. Rumah tu anak beranak, tak kisahlah nak buat. Rezeki masing-masing,” tulis pengguna Facebook.
Sekadar info, mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan, pemilik rumah yang ingin melakukan pengubahsuaian terutamanya dinding yang sedia ada perlu mendapatkan permohanan permit terlebih dahulu.
Bagaimanapun bagi pemilik rumah jenis flat, mereka sama sekali tidak dibenarkan melakukan sebarang pengubahsuaian terutamanya melibatkan penambahan bangunan tambahan.