Sisa minyak masak boleh buat duit? Ini tips elak buang dalam sinki

Oleh ARIF ATAN

Mungkin ramai terlepas pandang menganggap minyak masak terpakai tidak boleh dibuat duit. Ada yang selamba membuang sisa minyak begitu sahaja ke dalam sinki.

Jangan begitu! Saluran sinki akan mudah tersumbat. Malah, sisa minyak masak yang dibuang ke dalam sinki boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat seterusnya menggalakkan pembiakan tikus dan lipas.

Sisa minyak masak yang dibuang ke dalam sinki juga akan melalui longkang dan akhirnya akan disalurkan kepada sumber air.

Akibatnya, sumber air tercemar dan hidupan akuatik terancam kerana pembentukan lapisan minyak.

Jadi, apa perlu dibuat? Sisa minyak masak patut diasingkan ke dalam bekas kosong yang lain. Sisa minyak itu boleh dijual semula kepada pengumpul minyak masak terpakai.

Ia kemudiannya akan dijual semula kepada pengilang untuk diproses menjadi produk lain iaitu biodiesel.

Pengguna Facebook Siti Nor Madihah Mamat berkata, minyak masak yang sudah tidak mahu dipakai adalah berharga.

“Hari tu jual 5 kg dapat RM13. Rugi sebenarnya buang dalam sinki,” katanya lagi.

Bagi Sitiey Fairuz pula, enam botol minyak masak terpakai boleh dikumpul daripada membazir bahkan menyusahkan diri kemudian hari jika dibuang dalam sinki.

“Cukup masa panggil orang datang ambil. Banyak ni dapat RM54. Jadilah, siapa nak bagi percuma, ‘kan,” katanya lagi.

Berkenaan pihak yang boleh mengutip minyak terpakai, ada yang memberitahu carian mudah boleh sahaja dilakukan di Facebook dengan menaip “beli minyak terpakai (letak kawasan)”.

“Mesti ada pembeli,” ujarnya lagi.

Cara sama diamalkan Siti Habsah Abdul Wahab yang memanfaatkan minyak terpakai tanpa perlu membeli pengeras minyak yang dijual di Daiso sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

“Kumpul semula dalam botol mineral 10 liter tu dalam lima hingga enam botol. Dapatlah RM100 lebih,” jelasnya.

Begitu juga Azlin Ina yang berkata, minyak terpakai yang dikumpulkannya boleh dijual untuk membeli minyak yang baharu pula.

Malah, ada yang memberitahu, aplikasi Recircle sedia menerima minyak terpakai.