Tok Guru ini kongsi makna sebenar keuntungan

Oleh ARIF ATAN

Tiada orang yang mahu mendapat rugi dalam urusan seharian. Semua orang mengejar keuntungan tetapi ada yang menganggap keuntungan berlegar soal wang dan urusan dunia semata-mata.

Ulama termasyhur, Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah pergi ke pangkuan Ilahi pada 12 Februari 2015 ada memberi penjelasan mengenai erti sebenar keuntungan.

Hal berkaitan makna sebenar keuntungan telah dihuraikan oleh tokoh dihormati yang menguasai lima bahasa itu dalam siri kuliahnya pada setiap pagi Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu, Kelantan.

Penulis Ann Wan Seng kemudiannya merakamkan kuliah mantan Menteri Besar Kelantan (1990-2013) tersebut dalam bukunya, “Jumaat Bersama Tok Guru 2” (2015).

Berikut merupakan hujah Tok Guru Nik Aziz berkenaan erti sebenar keuntungan ketika menafsirkan ayat 10, surah Al-Jumu’ah:

“… Dan ingatlah Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) agar kamu beruntung (di dunia dan akhirat).

Sekali lagi ditekankan di sini supaya ingat kepada Allah. Sudah tentu kita dapat membezakan antara ‘ingat’ dan ‘sebut’ berdasarkan tafsiran yang panjang lebar sebelum ini.

Kita bekerja, ingat kepada Allah. Kita makan, ingat kepada Allah. Kita beraktiviti, ingat kepada Allah.

Secara kesimpulannya, ingatlah kepada Allah dalam segala keadaan yang kita hadapi di dalam kehidupan ini.

Dan Allah mengakhiri ayat ke-10 surah Al-Jumu’ah ini dengan meletakkan harapan agar manusia berjaya. “Tuflihun” dalam penghujung ayat ini berasal dari perkataan “falah” yang membawa maksud bertani atau bercangkul.

Jika ingin mendapatkan ganjaran Allah, maka segala usaha yang kita lakukan hendaklah bersungguh-sungguh sama seperti bertani.

Perhatikan para petani, betapa mereka bersungguh-sungguh melakukan kerja mereka supaya dapat melihat hasil pertanian yang dapat dituai kelak. Begitulah kita dalam melakukan segala kerja di muka bumi ini.

Dalam mengharapkan pahala daripada Allah SWT, maka kesungguhan dalam beramal diperlukan sebagai ‘pertukaran barang’.

Dengan kesungguhan tersebut, maka di dunia lagi kita sudah dapat menikmati hasilnya manakala di akhirat pula kita dapat merasai syurga-Nya.

Itulah makna sebenar keuntungan.

Baca juga Akibat khianati pesanan bijaksana Tuan Guru Nik Aziz

Baca juga Tentera Israel tembak mati wanita Palestin