Awas kalau berada di lokasi ini, ada ‘peragut’ amat berani beraksi

Oleh ARIF ATAN

Awas buat pengunjung di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan. Barangan makanan yang dibawa bila-bila masa sahaja ghaib dari tangan anda.

Hal itu yang diingatkan warganet sebagai reaksi untuk klip video yang menunjukkan bagaimana seorang pemuda terkejut apabila makanan dibawanya dirampas ‘peragut’ beekor panjang.

Dalam rakaman ringkas video tersebut, seekor kera selamba melompat sebelum merampas makanan daripada pengunjung yang sedang lalu di jambatan kawasan peranginan itu.

“Peragut yang amat berani sekali di abad ini,” kata seorang pengguna media sosial.

Aksi kera itu dikatakan akibat jangka panjang sikap manusia yang memberikan makanan kepada kera dan beruk yang hidup liar.

“Salah manusia juga suka bagi makan, bila tiada makanan dia akan rampas makanan orang lain,” kata Shidi Aisha.

Sementara itu, Syuhaida Hanafiah pula dengan nada berseloroh menulis, “Lalu sini (Pantai Teluk Cempedak) kalau bawa makanan kena sorok-sorok. Ramai Kastam di sini.”

Seorang lagi pengunjung lokasi pelancongan itu memberitahu pengalamannya berdepan dengan kumpulan ‘peragut’ tersebut.

“Pernah masa nak suap nasi, telefon berbunyi. Jadi, letaklah tepi dulu (nasi) jawab telefon. Selesai saja tengok nasi dalam polisterin pun selesai juga dia (kera) bawa lari,” katanya.

Ketika ramai yang menganggap lucu aksi ‘peragut’ itu, ada juga yang mengingatkan tentang risiko terhadap golongan kanak-kanak.

“Bila tengok, ya macam kelakar. Tapi kalau difikirkan, agak-agak ibu ayah yang bawa anak kecil berjalan ke sini itu berisiko tak dibawa lari anaknye?” kata Ruhaimi Zakaria.

‘Keganasan’ kera di kawasan perkelahan yang berjarak kira-kira 6 km dari pusat bandar Kuantan itu juga mendapat perhatian Oliver Moorthy.

“Kalau ada masa terluang, duduklah sekitar Pantai Teluk Cempedak dan perhatikan keluarga monyet berkeliaran tepi tong sampah, bumbung bangunan, gazebo McDonald’s dan mengejar pelawat yang leka dengan tas tangan dan makanan dalam genggaman,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai mengingatkan pengunjung kawasan peranginan itu agar berhati-hati dengan menyembunyikan makanan daripada dilihat malah dihidu kumpulan kera terbabit.

“Selalu saja rembat makanan orang. Memang tak boleh pegang makanan. Dalam beg pun dia boleh bau,” kata Juhaida Hassan.

Baca juga Tidak semangat keluar kerja? Ini 12 peribahasa Melayu jati lagi ‘rare’ pembangkit motivasi

Baca juga Cikgu ditahan selepas 7 kali cabul pelajar tingkatan dua