Malaysia sebenarnya negara yang ketiga tertinggi dunia makan ayam sehingga mempengaruhi bekalan sumber protein itu dalam pasaran.
Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, Prof Datuk Dr. M Nasir Shamsudin berkata, corak pemakanan rakyat yang sebelum ini banyak berasaskan beras sekarang telah berubah.
“Penggunaan beras per kapita contohnya, telah menurun. Pada tahun 1980-an dulu, kita makan beras dalam lingkungan 120 kilogram per kapita setahun.
“Tapi sekarang kita makan dalam lingkungan 73 kilogram setahun tetapi ayam, kita makan per kapita kira-kira sebanyak 47.4 kilogram setahun,” katanya dalam temubual di Astro Awani.
Menurutnya, wujud perubahan corak pemakanan daripada yang berasaskan karbohidrat kepada berasaskan protein, daging dan ayam.
“Kita juga sekarang banyak makanan buah-buahan dan sayur-sayuran,” tambahnya lagi.
Dalam masa sama, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyatakan purata keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ayam sehari, atau 62.9 juta ayam sebulan.
Untuk rekod, Malaysia pada masa ini mengeksport kira-kira 3.6 juta ekor ayam sebulan dengan kebanyakan daripada jumlah itu untuk Singapura.
Kira-kira 34 peratus daripada import ayam Singapura pada 2021 adalah dari Malaysia dengan hampir kesemuanya diimport dalam bentuk ayam hidup yang disembelih dan disejukkan di Singapura.
Walau bagaimanapun, kerajaan menghentikan eksport ayam ke republik itu bermula 1 Jun lalu bagi mengatasi isu bekalan ayam dan kenaikan harga barang.
Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan isu berkaitan bekalan ayam di negara ini akan selesai menjelang Julai depan.
Secara umumnya, ayam dengan berat 1.8 hingga dua kilogram boleh diperoleh dalam 35 hingga 42 hari.
Baca juga Ayam tiada di pasaran bukan konspirasi tapi inilah puncanya
Baca juga Inginkan telur rebus yang cantik dan senang dikupas, ikuti tip ini