Baru 5 hari dibaiki, remaja selamba rosakkan eskalator di stesen LRT Sri Rampai

Oleh KIM SYAZIE

Baru lima hari eskalator di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai dapat berfungsi semula, seorang remaja berani merosakkan kemudahan awam tersebut sehingga menyebabkan operasinya tergendala.

Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang dikongsi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dapat dilihat sekumpulan remaja yang baru menuruni tangga di stesen berkenaan, bertindak menghampiri eskalator dan menekan butang berhenti kecemasan pada infrastruktur tersebut.

Eskalator berkenaan difahamkan baru sahaja dibaiki dan diaktifkan semula untuk kemudahan orang ramai.

“Tak pasti apa niat sebenar remaja ini tetapi apa yang dilakukan ini dikategorikan sebagai perbuatan vandalisme.

“Butang kecemasan hanya digunakan pada saat-saat genting dan salah guna butang tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada eskalator dan akhirnya menimbulkan kesulitan kepada pengguna lain,” maklum DBKL dalam satu hantaran di Facebook.

Pada masa sama, DBKL menasihati agar orang ramai boleh menghargai kemudahan awam yang disediakan.

Eskalator berdekatan Stesen LRT Sri Rampai pernah tular di media sosial selepas ianya didakwa tidak berfungsi sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun pada 15 Jun, DBKL memaklumkan, pihaknya telah selesai melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan eskalator tersebut boleh digunakan semula.

Baca juga: Kisah tentang tudung dan kematian, ini pendapat wanita bertudung labuh

Baca juga: Impian anak muda miliki rumah pertama hanya tinggal mimpi lepas harga rumah naik 20 peratus

Baca juga: “Kalau saya nak keluarkan kedah dari Malaysia, saya kena tangkap tapi ‘orang’ itu bebas” – Tun Mahathir