Saya telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dan mendapati kedua-dua kenyataan tersebut adalah amat sangat mengelirukan dan berat berpihak kepada pemaju.
Sikap yang tidak profesional turut ditunjukkan apabila kenyataan tersebut turut membidas keterlibatan saya dalam isu ini dengan menuduh ianya adalah atas “kepentingan diri” dengan “menular satu fakta yang tidak tepat dan bersifat remeh”.
Saya ingin jelaskan bahawa saya dijemput untuk terlibat oleh sebahagian pemilik, khususnya pemilik rumah teres apabila mereka merasakan diri mereka teraniaya dan hak mereka tidak dibela oleh Menteri Wilayah dan juga PKB.
Saya cadangkan kepada kedua-dua pihak untuk menjawab isu-isu yang ditimbulkan oleh pemilik, dan berhenti bermain politik dan jalankan tanggungjawab kamu dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.
Saya hanya membantu pemilik untuk menyuarakan bantahan mereka kerana ianya tidak didengari atas sebab mereka dilihat sebagai golongan marhaen dan lemah.
Berhubung kenyataan oleh PKB yang walaupun panjang lebar, ianya tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan. Satu kenyataan akan dikeluarkan oleh Jawatan Kuasa Bertindak Sungai Baru bagi menjawab segala dakwaan dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak PKB.
Bagi diri saya, saya ingin memberikan penekanan kepada hanya beberapa isu seperti berikut :-
(1) Kenapa Kerajaan terlibat dengan projek swasta ini sehingga sanggup menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960?
Persoalan ini telah dikemukakan berkali-kali tetapi tidak dijawab. Pihak PKB memberikan gambaran bahawa sekiranya projek ini gagal, maka kerajaan kena bayar gantirugi kepada semua pihak. Mengapa?
Adakah pihak kerajaan pernah menjadi penjamin kepada projek ini sepertimana ianya telah menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat oleh 1MDB?
Kalau benar kerajaan menjadi penjamin sila kemukakan segala dokumentasi berkaitannya. Kalau kerajaan tidak menjadi penjamin, dan sememangnya ianya tidak patut menjadi penjamin kepada projek swasta, maka mengapa pula kerajaan perlu membayar gantirugi?
Saya dapati hujah PKB adalah sangat mengelirukan dan agak terdesak bagi mencari alasan untuk mengharuskan kerajaan terlibat dan menggunakan Akta Pengambilan Tanah.
Begitu juga hujah Menteri Wilayah yang ingin meraih simpati dengan mengatakan bahawa 328 pemilik rumah akan kehilangan tempat tinggal sekiranya projek pembangunan Sungai Baru tidak dijalankan. Ini adalah kerana rumah-rumah mereka tidak lagi sesuai untuk diduduki.
Sekiranya ianya benar maka pemaju perlu menjelaskan mengapa mereka telah mempelawa semua pemilik rumah berkenaan berpindah keluar dan meninggalkan rumah-rumah mereka sekiranya persoalan kelulusan pembangunan itu belum lagi selesai secara muktamad pada ketika itu?
Dan adakah wajar, atas sebab kesilapan pemaju kerana terlalu gopoh memindahkan sebahagian pemilik, maka pemilik yang tidak bersetuju dengan tawaran yang diberikan dikenakan tindakan atas Akta Pengambilan Tanah?
Tindakan sebegitu sememangnya dilihat bertujuan membela dan membantu pemaju dan ini menimbulkan banyak persoalan dan andaian. Ada yang mengatakan “semua telah dibeli pemaju”.
(2) Apa alasan sebenar pemilik yang menolak tawaran pemaju?
Dalam kesungguhan membantu dan membela pemaju, Menteri Wilayah dan PKB lupa bertanya kepada pemilik mengapa mereka menolak tawaran pemaju. Biarlah saya jelaskan di sini dan masyarakat menilai sendiri samada sebab-sebab tersebut adalah wajar atau sebaliknya.
Sebab pertama adalah harga yang ditawarkan. Berdasarkan penilaian yang dilakukan penilai bebas, tanah di Kampung Sungai Baru adalah bernilai RM 1,500 sekaki persegi. Ini adalah kerana tanah berkenaan tiada sekatan dan bukan Rezab Melayu.
Dulu ada yang mendakwa tanah Kampung Baru yang merupakan tanah Malay Agricultural Settlement (MAS) dengan segala sekatannya adalah bernilai RM 3,000 sekaki persegi. Ke mana perginya suara-suara hero-hero Melayu itu sekarang? Atau mereka semua selama ini hanya sekadar tentera upahan?
Adalah difahamkan harga yang ditawarkan adalah belum dinyatakan secara jelas, khususnya bagi pemilik rumah teres dan sekiranya begitu, bagaimana pemilik boleh bersetuju? Begitu juga dengan pemilik flat yang kita difahamkan dinilai harga pampasan untuk flat mereka hanya sekadar RM200,000.
Rumah apa yang mereka boleh beli dengan harga RM200,000 di kawasan Kuala Lumpur? Bagaimana mereka boleh bersetuju?
Sebab kedua adalah persoalan jaminan kepada pemilik bahawa sekiranya pemaju ‘bungkus’ atau ‘tutup kedai’ dan projek ini terbengkalai, pemilik akan tetap mendapat pulangan yang dijanjikan.
Pernah saya tangani kes projek terbengkalai di Ijok, Kuala Selangor di mana pemilik-pemilik tanah telah tidak mendapat pampasan seperti yang dijanjikan kerana projek terbengkalai, sedangkan tanah mereka telahpun diserahkan kepada pemaju dan pemaju mencagarkan tanah dengan bank untuk projek pembangunan berkenaan.
Dalam kes di Sungai Baru ini juga, tetap ada kemungkinan projek terbengkalai dan sekiranya itu berlaku, maka rumah-rumah mereka telahpun diserah kepada pemaju dan pemaju telahpun mencagarkannya kepada bank dan akhirnya pemilik akan kehilangan segalanya. Rumah ganti tidak diperolehi dan rumah lama sudah tergadai!
(3) Pemilik tidak menolak projek pembangunan yang ingin dijalankan.
Perlu difahami Menteri dan PKB, pemilik-pemilik tidak menolak projek pembangunan ini. Mereka hanya mahu menentukan mereka mendapat hak mereka dengan sewajarnya seperti disebut di atas dan tidak dipaksa bersetuju dengan penggunaan Akta Pengambilan Tanah.
Kesimpulan
Saya mencadangkan Menteri dan PKB bertemu dengan pemilik-pemilik terbabit dan berbincang dengan mereka secara baik.
Harap maklum, mereka bukan setinggan dan sebaliknya adalah pemilik sah bergeran maka hormatilah hak mereka. Kalau setinggan pun dilayani dengan baik, khususnya di Selangor, apatah lagi pemilik tanah yang sah dan bergeran.