PH beri masa 24 jam kepada kerajaan tangani isu subsidi, kos sara hidup rakyat

Oleh NASUHA RAHMAN

Pakatan Harapan (PH) menegaskan kerajaan mesti mengumumkan sepenuhnya pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup ini dalam masa 24 jam sekiranya gagal menteri yang bertanggungjawab wajib meletakkan jawatan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, mereka tidak teragak-agak akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat.

Pakatan Harapan menzahirkan kerisauan dengan perkembangan mutakhir isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam bahawa subsidi bagi minyak masak tulen berbotol, serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.

“Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik COVID-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat.

PH beri masa 24 jam kepada kerajaan tangani isu subsidi, kos sara hidup rakyat

“Pada ketika ini, Kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini.

“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Ketua Pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.

Malangnya, kata Pakatan Harapan rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para Menteri dalam menangani masalah kos sara hidup.

Baca juga: Kerajaan tidak akan kawal harga ayam mulai 1 Julai, harga barangan dijangka meningkat

Baca juga: Subsidi minyak dipotong, projek mega RM900 juta pula diteruskan