Kenaikan kadar elektrik: Rakyat makin terjerut, tidak patut dibebani kos hidup begitu tinggi

Oleh KIM SYAZIE

Beban kenaikan harga barangan belum selesai, kini rakyat sekali lagi akan terjerut di bawah kerajaan pimpinan BN-PN apabila mereka mengenakan surcaj ke atas bil elektrik mulai bulan depan. 

Malah tindakan kerajaan ini bukan saja membebankan rakyat, sebaliknya mereka umpama sudah jatuh ditimpa tangga. 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Industri & Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, Dato Abdul Halim Hussain, cadangan kenaikan tersebut membuktikan kerajaan tidak prihatin dan peduli terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyat tatkala ini. 

“Belum lagi selesai masalah harga barang mahal dan sebagainya kini timbul pula bebanan baru bagi rakyat apabila kenaikan kadar elektik nanti akan membabitkan segala kenaikan yang boleh membebankan rakyat pelbagai golongan. 

“Sepatutnya kerajaan lebih peka dan prihatin dengan membuka mata dan telinga untuk menjenguk dan mendengar keluhan rakyat. 

“Tidak sepatutnya kerajaan membiarkan rakyat menanggung beban kos sara hidup yang semakin mencanak naik dan masa ini pula bukannya waktu yang sesuai bagi kenaikan kadar tarif elektrik tersebut dilaksanakan,” ujar beliau yang juga merupakan Adun Batu Maung. 

Tambahnya, kerajaan perlu segera campur tangan bagi memastian kenaikan kadar elektrik tersebut tidak dinaikkan pada waktu ini. 

Baca juga: Selepas banyak subsidi dimansuh, warganet rindu harga ayam zaman PH

Baca juga: Habiskan RM40,000 beli dron untuk jaga dusun durian