‘Kami tak perlu duit bantuan, kami mahu kerajaan kawal ekonomi’, netizen luah kemarahan

Oleh KIM SYAZIE

Di tengah-tengah kemelut isu penarikan subsidi minyak dan harga siling ayam mentah, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan Keluarga Malaysia Tambahan sebanyak RM50 untuk bujang dan RM100 untuk isi rumah.

Bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak mendapat maklum balas yang baik daripada orang ramai kerana rata-rata amat terkesan dengan harga barangan yang dijangka akan naik mendadak.

Dilaporkan, di beberapa tempat bakal mengenakan harga sehingga RM15 bagi sekilogram ayam mentah selepas harga siling tidak diteruskan 1 Julai ini.

“Kami rakyat tidak perlukan duit bantuan yang bagi sekali setahun. Kami boleh dapat duit sendiri. Kami cuma perlukan kerajaan untuk mengawal sosioekonomi. Bukan hentikan subsidi lepas itu naikkan harga siling dan kemudian nah RM100 buat sara hidup. Apa ini?,” ciap seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun @FarraDiana_.

Ciapan tersebut diulang kicau lebih 12,000 kali dengan rata-rata turut bersetuju kerana kerajaan seolah-olah menganggap pemberian duit bantuan boleh memberi kelegaan pada rakyat dan mengendurkan situasi sedang tegang.

Menurut mereka, RM100 untuk menggantikan subsidi minyak yang pakai berbotol-botol untuk setahun adalah tidak berbaloi.

Taktik jangka pendek digunakan ini juga kata mereka tidak akan dapat mengubah apa-apa kerana hakikatnya harga barang semakin meningkat sedangkan gaji minimum belum pun dilaksanakan lagi.

“Ya benar. Setuju. Tak nak one-off. Nak solusi jangka panjang. Naikkan gaji kami, potong gaji menteri. Kawal harga barang. Tambah baik kemudahan pengangkutan awam. Kemaskini kemudahan asas,” kata seorang pengguna Twitter.

“Fakta: Kerajaan masih belom tangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat. Pengumuman terbaru tentang bantuan ciput tu ‘was just a knee jerk reaction’ sebab kena picit dengan pembangkang, PH,” tulis pengguna lain.

Namun, ada juga yang berkata rakyat tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka berkata, majoriti pengundi yang berada di pedalaman lebih suka solusi cepat seperti ini dan tidak risau akan apa yang berlaku di depan nanti.

Baca juga: ‘Minyak masak diseleweng salah siapa, kenapa hukum rakyat?’ – Syahredzan

Baca juga: Pakcik dulu kecil-kecil baik sangat ke? – Netizen berang lihat orang tua tolak kanak-kanak dalam masjid