Naik 20%! Pengalaman naik harga barangan mengejutkan

Oleh NASUHA RAHMAN

Kita bukanlah peminat marjerin. Cuma sekali sekala ada beli sebab anak yang minta.

Kejutan beli marjerin bila harga kat bekas tu RM5.85. Waktu bayar kat penjaga kaunter kita hulur duit RM1 sebanyak 6 lembar. Tiba tiba gadis kaunter kata tak cukup duit.

Ingatkan silap kira maklumlah kita pun nak masuk usia setengah abad. Padahal tadi sudah ulang kira 2 kali dan memang yakin ianya 6 lembar wang seringgit.

Lantas, gadis itu memberitahu harga marjerin itu RM6.95. Kita pun tanya balik gadis itu harga yang tertera di bekas adalah RM5.85. Lalu, gadis itu terus menunjukkan kepada skrin komputer di hadapannya. Ya, jelas harganya adalah RM6.95.

Tetapi gadis itu pun kaget juga seketika dan melaung mendapatkan penjelasan rakannya. Rakannya melaung balas menyatakan harga itu harga yang baharu.

Bila diberitahu begitu kita hulurkan selembar lagi wang seringgit. Namun, mungkin sudah jadi polisi syarikat kena ikut harga tertera, maka dihulur kembali kepada kita wang seringgit bersama baki 15 sen. Tetapi resit masih tunjukkan harga RM6.95. Entahlah mungkin gadis itu sendiri yang menyerap harganya.

Apa yang kita hairan bagaimanakah harga barangan ini meningkat mendadak. Kenaikan harga RM1.10 daripada harga lama. Peningkatan kira-kira 20%.

Bayangkan kalau semua barangan naik 20% sedangkan gaji mustahil naik 20% dalam masa yang sama.

Dahulu kita selalu dengar slogan Islam adalah penyelesaian masalah kos sara hidup tetapi kini kita tak dengar pun ulama salafi atau ulama aswaja atau ulama politik menunjukkan cara tindakan yang boleh dibuat untuk selesai harga barangan naik. Mereka lebih suka bergaduh siapa yang lebih Islam, siapa yang bidaah dan siapa yang ikut sunnah. Makin biol kita bila orang agama ini bergaduh padahal hal yang realiti ini tidak pun ditangani.

Dahulu orang politik yang jadi pembangkang khuatir sangat pemimpin DAP akan rosakkan negara. Azab 22 bulan dahulu sering jadi ulangan di bibir. Padahal sekarang nampaknya bila pembangkang dahulu jadi kerajaan keadaan bertambah azab. Rakyat hilang kerja disebabkan covid. Nilai wang ringgit sudah jadi makin murah berbanding USD.
Kini sibuk pula hendak buat PRU 15. Sepatutnya gunakan kuasa kerajaan ini untuk selesaikan dahulu masalah harga barang melambung ini.

Malah, ura ura yang didengar sekarang tarif elektrik pun akan naik. Harga RON 95 pun akan naik mencanak lepas PRU 15 kalau begini cara pemikiran. Kalau harga RON 95 naik sampai RM3 seliter bayangkan kesan domino yang akan berlaku. Barangkali marjerin ini waktu itu akan jadi harga RM8.50.

Mungkinkah sebab didesak untuk buat PRU 15 ini segera adalah kerana PRU 15 ini hanya tempat untuk mendapat mandat baharu selama 5 tahun lagi dan sebaik sahaja selesai PRU 15 maka harga barangan akan jadi menggila naik sebab mereka tahu rakyat sudah tidak lagi berpeluang untuk melakukan protes di dalam peti undi.