Kisah tragis amah teruk kena dera di negara ini dengan majikan mereka bukan cerita baru. Selain tipisnya nilai kemanusiaan majikan itu sendiri, kesungguhan negara dalam menghapuskan pemerdagangan manusia juga telah dibuktikan tidak memenuhi piawaian minimum antarabangsa.
Adelina Lisao, seorang pembantu rumah Indonesia adalah contoh mangsa kekejaman manusia bergelar majikan di Malaysia serentak dengan angkuhnya sindiket buruh paksa.
Tanpa dokumen sah, hak Adelina sebagai manusia dan pekerja seolah-olah dimatikan sehingga didera dengan teruk dan nyawanya melayang akibat kecederaan dan penderitaan dialaminya.
Semalam, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ambika MA Shan, 62, daripada pertuduhan membunuh Adelina pada 10 Februari 2018.
Ambika ketika hadir di mahkamah dengan berkerusi roda semalam, didakwa membunuh Adelina Lisao, 28, di rumahnya di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Pada 18 April 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Ambika sekali gus dibebaskan daripada hukuman gantung walaupun pihak pendakwaan memohon bagi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Pengguguran kes yang terdapat banyak bukti kukuh itu bukan sahaja mengejutkan rakyat Indonesia, malah rakyat Malaysia juga berkongsi reaksi yang sama.
Banyak pihak termasuk Tenaganita dan Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) menuntut Peguam Negara Tommy Thomas ketika itu mengkaji semula pengguguran kes Adelina itu.
Pihak pendakwaan gagal dalam rayuan mereka selepas ditolak Mahkamah Rayuan pada 2020.
Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang mewakili pihak pendakwaan berhujah bahawa timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu memohon DNAA dan memberitahu Mahkamah Tinggi beliau menerima arahan daripada pihak atasan agar tidak meneruskan kes itu.
Mohd Dusuki dipetik Bernama berkata, tiada alasan sah yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir untuk melepas dan membebaskan Ambika.
Peguam Datuk Baldev Singh Bhar yang mewakili Ambika, berkata keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas dan membebaskan Ambika adalah wajar dan menggesa mahkamah agar menolak rayuan pihak pendakwaan.
Pada 18 April 2019, timbalan pendakwa raya memberitahu hakim Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mahu meneruskan perbicaraan pada ketika itu dan tidak dapat memberikan alasan bagi memohon perintah DNAA yang menyebabkan hakim melepas dan membebaskan Ambika di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Prosedur Jenayah.
Jeritan gegar kejiranan
Jiran kepada majikan Adelina pernah dilapor memberitahu kerap mendengar suara jeritan marah-marah. Keluarga majikan kepada amah itu pula sebelum ini memang tidak begitu bergaul dengan jiran tetangga. Anak-anak suspek pun keluar kerja dalam pukul 9 pagi, pukul 10 malam baru pulang.
Salah seorang jiran itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Yau berkata, sejak tinggal di kawasan itu lebih lima tahun lalu, dia sering mendengar suspek memarahi pembantu rumahnya tidak kira siang mahu pun malam.
Dakwa Yau juga, dipetik Awani, mangsa juga bukanlah pembantu rumah pertama yang menjadi mangsa kemarahan majikan itu.
Mulanya, jiran tetangga tidak sangka pembantu rumah itu dipukul tetapi tanggapan itu berubah apabila melihat Adelina dalam keadaan tidak terurus, lemah, muka membengkak dan tubuh yang semakin kurus.
Pernah Adelina cuba dibantu oleh jiran tetangga tetapi diberi amaran oleh majikan Adelina supaya tidak mencampuri urusannya. Tanpa bukti di pihak jiran pula, dekat pintu lagi dia dah halau.
Selepas itu, barulah jiran tetangga tergerak untuk meminta bantuan NGO. Gambar memaparkan keadaan menyedihkan dialami Adelina yang terbiar di luar rumah dirakam jiran.
Luka bernanah akibat terbakar
Imbas kembali detik-detik akhir hayat Adelina, beliau berjaya diselamatkan polis pada Februari 2018 tetapi disahkan meninggal dunia pada keesokan hari ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah.
Adelina ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya oleh seorang wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Ketika diselamatkan, amah muda itu didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar manakala mukanya bengkak.
Tapi majikan itu dilaporkan mengadu tentang keadaan Adelina yang mengotorkan lantai dengan darah dan nanahnya.
Warga Indonesia dari Kupang, Nusa Tenggara Timur itu juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah bersama anjing dan hanya beralaskan tikar.
Susulan itu, polis menahan reman majikannya – seorang wanita dan dua anaknya berusia 36 dan 39 tahun – bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Keluarga Adelina pula melalui Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang pada 13 Februari 2018 telah diberi pampasan dan tunggakan gaji berjumlah RM63,900.
Jumlah itu termasuk tunggakan gaji selama tiga tahun yang tidak dibayar majikannya dari Januari 2015 hingga Februari 2018, berjumlah RM35,900.
Selebihnya pula adalah pampasan untuk keluarga Adelina termasuk kos penghantaran jenazah dan pengebumian.
Apapun, mengambil iktibar kisah Adelina Lisao yang bukan satu-satunya kes kejam yang berlaku terhadap pembantu rumah warga asing, Malaysia perlu serius untuk ‘mengisytiharkan perang’ terhadap pemerdagangan manusia dan sindiket buruh paksa.
Malaysia juga perlu melakukan kajian semula undang-undang buruh agar tragedi kemanusiaan dialami Adeline tidak berulang pada masa akan datang.
Ikuti isi hati dan seruan AHLI PARLIMEN BUKIT MERTAJAM, STEVEN SIM CHEE KEONG ini yang empat tahun lalu bersama pasukannya telah menyelamatkan Adelina:
Saya berasa amat sedih dan kecewa dengan keputusan mahkamah membebaskan majikan yang dituduh menyebabkan kematian seorang pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao.
Pada 10 Februari 2018, saya dan pasukan saya telah menyelamatkan Adelina dari rumah majikan selepas terima info bahawa ada pembantu rumah yang didera di rumah tersebut.
Apabila saya berjumpa dengan Adelina, dia berada dalam keadaan trauma, anggota badannya luka berdarah. Dia dipaksa untuk tidur di halaman rumah macam anjing.
Saya sempat beritahu Adelina bahawa dia kini sudah selamat dan saya sebagai Ahli Parlimen Malaysia akan melindunginya.
Malam itu, Adelina tidur di atas katil buat kali pertama entah dalam berapa bulan.
Tapi malangnya, itu juga kali terakhir Adelina tidur di atas katil. Dia meninggal dunia keesokan harinya.
Saya berasa amat marah. Seorang gadis bawah umur yang diseludup masuk ke Malaysia sebagai mangsa pemerdagangan orang, kemudian didera dengan teruk dan akhirnya mati akibat kecederaan, tapi tiada pihak yang disabit sebarang kesalahan!
Pada Disember 2021, saya telah membawa nama Adelina Lisao sekali lagi di Parlimen untuk mengingatkan diri saya sendiri dan seluruh anggota Parlimen tentang kezaliman yang berlaku ke atas Adelina Lisao.
Saya akan sentiasa ingat kisah Adelina yang penuh tragedi dan terus melawan aktiviti pemerdagangan orang, tak kira warga luar negara yang diseludup masuk ke Malaysia mahupun warga Malaysia yang diseludup ke Cambodia melalui sindiket job scam dan sebagainya.
Kita mesti ingat kisah Adelina Lisao. Kita mesti sentiasa ingat kisah Adelina Lisao!
Baca juga Kisah sedih ibu melahirkan tuan, tergamak jadikan ibu seperti pembantu rumah
Baca juga Wanita sebak lihat budak darjah 6 ponteng sekolah sebab nak bantu keluarga