Apa kaitan status janda gemuk dengan kartun Melayu, leteran selebriti ibu tunggal ini tarik perhatian netizen

Oleh ARIF ATAN

Leteran selebriti kontroversi, Zarina Anjoulie, 35, yang sedang memarahi anak lelakinya tular dan menarik perhatian netizen apabila turut menyebut keadaan fizikal dan status diri antaranya sebagai janda.

Dia yang lebih mesra disapa Anju itu menerusi Facebook Reels miliknya sendiri dilihat meradang dengan Awangku Gabriel Martin Ezra yang menonton kartun berbahasa Melayu.

Dalam bahasa bercampur Inggeris dan Melayu, Anju yang dua kali bercerai itu turut bertegas akan merampas telefon jika anaknya masih menonton kartun bahasa Melayu.

“Martin, please watch English punya (kartun). Jangan tengok Melayu punya (kartun).

Don’t watch Malay cartoon. Mengapa tak dengar cakap mama?

“Mama ni dah lah janda, susah, gemuk. Tolonglah. Janganlah torture mama, boleh tak?” bebelnya dari ruang dipercayai dapur sambil membuka dan menutup peti sejuk.

Rata-rata netizen yang membanjiri ruang komentar mempersoalkan larangan Anju atau nama sebenarnya, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul.

Warganet menyifatkan tiada salahnya untuk anak pelakon drama Anak Pontianak itu menonton kartun bahasa Melayu memandangkan sebutan bahasa Inggeris budak berkenaan ketika menjawab leteran ibunya kedengaran lancar dan fasih.

“Ada orang tak pernah bercakap bahasa Inggeris ketika zaman kanak-kanaknya tapi tetap perfect, yang penting belajar.

“Marahkan anak tengok kartun bahasa Melayu, apa kena-mengena dengan emak janda, hodoh, gemuk, ya?

“Melayu kartun ni pun bagus juga, kadang tu ada cerita tentang unsur agama, ‘kan bagus,” kata seorang netizen.

Bagi Rashidah Othman, terdapat kartun bahasa Melayu yang berorientasikan pendidikan Islam secara santai.

“Sekurang-kurangnya (kartun) Umar dan Hana boleh ajar anak kamu hal agama. Silap-silap kamu kena leter dengan anak suruh tutup aurat,” sindirnya.

Menurut Amin Ismail pula, usaha untuk membiasakan anak dengan bahasa asing adalah baik tetapi biar betul caranya.

“Jangan cakap dengan anak begitu seolah-olah merendahkan martabat bahasa Melayu,” nasihat Amin.

Sementara itu, Rachel Claudia Banding dari Sabah pula menasihatkan agar anak-anak tidak dilarang daripada menonton program TV atau kartun berbahasa Melayu.

“Dia dah fasih berbahasa Inggeris. Baiklah ajarkan juga bahasa kebangsaan. Jangan jadi macam saya, anak-anak dibiasakan berbahasa Inggeris saja.

“Campur-campur juga bahasa pasar dialek Sabah. Akhirnya, sekarang anak-anak saya tidak fasih berbahasa Malaysia.

“Lebih teruk lagi, anak-anak tak dapat bezakan antara perkataan asal bahasa kebangsaan, bahasa dialek Sabah, atau bahasa dialek Semenanjung.

“Sangat-sangat sedih sebenarnya. Masalah besar juga di sekolah tu nanti sebab nak buat ayat formal asas saja pun diorang tak pandai, apatah lagi nak mengarang dalam bahasa Melayu,” kata Rachel lagi.

Baca juga Anak kembar seiras pemimpin AMANAH dapat 9A+ SPM

Baca juga Waspada semua !!! Penyelidik dedah Asia akan hadapi inflasi makanan, harga akan melambung naik!