Kerajaan perlu perluaskan bantuan tunai, M40 juga perlukan pembelaan

Oleh NASUHA RAHMAN

Pengakuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa inflasi di Malaysia sepatutnya telah mencapai 11.4 peratus pada Mei 2022 tanpa subsidi adalah amat membimbangkan, walaupun ianya tidak mengejutkan.

Faiz Fadzil, Adun Permatang Pasir berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah kerajaan BN-Bersatu-Pas telah memansuhkan subsidi atas beberapa makanan asas serta sedang mengkaji untuk merombak subsidi RON 95.

“Apakah nasib rakyat jika lebih banyak subsidi dibuang dan pada masa yang sama GST pula diperkenalkan sedangkan Perdana Menteri hanya mengumumkan bantuan tunai antara RM50 dan RM100 sahaja kepada rakyat miskin.

“Bagaimana nasib isi rumah yang mempunyai pendapatan RM2501 dan tiga orang anak hanya akan diberikan bantuan tambahan RM100 beserta bantuan BKM sebanyak RM100 pada bulan Jun serta apakah ianya mencukupi bagi isi rumah sedemikian.

” Bagaimana pula golongan M40 yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur yang berpendapatan RM5001 dan mempunyai tiga orang anak. Mengikut logik kerajaan, isi rumah M40 tidak layak untuk menerima bantuan tunai serta apakah golongan tersebut harus dianak tirikan, ” soal beliau dalam satu kenyataan.

Tambah Faiz lagi, data Jabatan Perangkaan menunjukkan bakul barangan dan perkhidmatan yang bernilai RM500 pada Oktober 2018 semasa di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan ( PH) telah meningkat harganya kepada RM524. 44 setakat Mei 2022 dan. andaikata cukai GST tidak dimansuhkan oleh PH, kos bakul tersebut pasti akan lebih nahal. Pemansuhan GST oleh PH sebelum ini adalah dasar yang tepat.

Kerajaan perlu perluaskan bantuan tunai, M40 juga perlukan pembelaan
Faiz Fadzil

Sehubungan itu tegasnya, pengurusan fiskal negara yang lebih efisien tanpa ketirisan, termasuk memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan merupakan satu tindakan yang penting.

Namun begitu katanya, usaha berkenaan sama sekali tidak boleh merampas hak golongan yang memerlukan dan kerajaan digesa agar bantuan tunai yang menggantikan subsidi ditambah serta kerajaan harus mengkaji pengenalan sistem ‘digital food voucher’ menerusi penggunaan kad pengenalan yang harus diperluaskan kepada isi rumah M40 bawahan atau ‘lower M40’ yang dianggarkan lebih 600,000 orang golongan M40 telah tergelincir ke dalam golongan B40 kini.

Malah ujar beliau, bantuan yang disalurkan harus turut mengambil kira saiz tanggungan dan kawasan yang didiami supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin menggila serta adalah tidak logik sekiranya isi rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur menerima bantuan RM100 sama seperti isi rumah di Marang, Trengganu kerana impak inflasi adalah berbeza mengikut lokaliti.