Orang ingat berniaga senang untung, peniaga ini kongsi banyak kos tersembunyi, kadang rugi jualan tak habis

Oleh KIM SYAZIE

Menjadi seorang peniaga bukanlah seindah seperti yang terlihat di mata kasar. Ada pihak yang menganggap peniaga gerai makanan paling banyak mengaut keuntungan kerana menjual makanan dengan harga yang ditetapkan sendiri.

Bagaimanapun menurut seorang pemuda yang menjalankan perniagaan nasi kukus ayam berempah, dia memberitahu bahawa ianya tidak seperti yang disangkakan.

Menurutnya banyak risiko dan kos-kos tersembunyi yang ramai tidak tahu tetapi ia hanya ditanggung oleh peniaga.

Antaranya membabitkan barang jualan tidak habis dan termasuklah kos-kos kecil seperti penggunaan gas.

“Memandangkan saya berniaga gerai nasi kukus ayam berempah, saya nak kongsi juga kos-kos tersembunyi yang perlu diambil kira jika nak mula berniaga.

“Pertama, kos jualan tak habis. Berniaga 2 jam setengah, belum tentu boleh habis jual semua. Saya berniaga 7 jam setengah baru boleh jual 70 bungkus. Kalau hujan, lagilah teruk. Yang tak habis, makan sendiri atau sedekah kat orang, tapi kos tetap kena tolak dari keuntungan.

“Kedua, ayam potong 14 terlalu kecil. Kalau ayam RM20 bermakna ayam tu berat dalam 2 kilogram. Ayam 2 kg boleh potong 10 je maksimum, kalau tidak akan mengundang sumpah seranah dari pelanggan. Dah lah jual RM4.50. Saya jual ayam potong 4, RM6 seketul,” kata pemuda yang dikenali sebagai Yeop dalam satu komentar di Facebook.

Dia meninggalkan komen berkenaan selepas ada individu berkongsi tips agar orang yang mahu memulakan perniagaan, boleh mulakan dengan menjual ayam goreng berempah kerana dapat mengaut untung.

Individu berkenaan berkata, peniaga di tepi jalan boleh mendapat untung kerana tidak perlu membayar tapak. Tetapi perkongsian itu disanggah oleh Yeop.

Yeop berkongsi bahawa peniaga masih perlu menanggung kos tapak kerana tapak jarang dapat percuma walaupun berniaga di tepi jalan.

Sekurang-kurangnya sekitar RM5 hingga RM10 sehari kadar kiraan, tetapi kalau dalam kampung mungkin percuma.

Selain itu Yeop berkata peniaga perlu menanggung kos minyak masak biarpun menggunakan minyak paket sekalipun.

Katanya, sehari empat paket minyak akan untuk menggoreng ayam. 4kg x RM2.50 = RM10. Tapi jika tidak dapat mencari minyak paket, peniaga perlu bersedia untuk kos yang sangat besar.

Selain itu kos gas antara kos tersembunyi yang ramai ambil mudah walhal hakikatnya kos ini besar dan kerap kena beli.

“Seminggu saya pakai empat tong gas untuk jualan di gerai 7 jam setengah tambah masak kuah di rumah 3 jam setengah. Ayam goreng berempah ni api kena kuat kalau tak ayam tak masak sampai dalam.

“Kos beras. Saya pakai 8kg beras untuk jualan 70 bungkus. Itu beras ye, bukan nasi. Kalau nak dijadikan nasi ada kos-kos tambahan.

“Kemudian kos bahan sampingan. Contoh kos untuk kuah kari kaki ayam, sambal belacan, kos sayur, rempah perapan. Kos-kos ini besar ye tuan puan sebab cili padi dan cili masak sekarang harganya bukan murah. Sampai RM15 sekilo.

“Belacan lagi, herba campur, buah keras, serai, lengkuas, kayu manis, bunga lawang, tomato, cili kering, serbuk daun kari, dan pandan,” katanya lagi.

Kos pembungkusan: Kos untuk bungkus barang jualan. Kertas minyak gred B, plastik bungkus nasi 15×15, plastik 5×7 bungkus kuah dan sambal, plastik singlet pelbagai saiz.

Kos santan: Kalau berdasarkan kiraan tuan tanah, jualan ialah 70 bungkus sehari. Maka santan sehari kena pakai 1kg untuk kuah kari. RM7 hingga RM10 sekilo.

Kos pekerja: Pengalaman saya berniaga 7 jam setengah, jualan 70 bungkus memang memerlukan pekerja sebab kita kena goreng dan bungkus on the spot. Pelanggan tak nak makanan sejuk. Kalau 2 jam setengah nak jual 70 bungkus, saya jamin kena pakai lebih dari 3 orang (termasuk tokey)

Menurut Yeop, jika benar mahukan untung lebih, peniaga perlu menyediakan meja untuk dine in dan menjual air.

Kepada yang baru nak mencuba, ambil kira kos-kos di atas sebelum anda pertaruhkan baki simpanan anda untuk mula. Pergi bersembang dengan orang-orang yang dah berniaga (bukan pergi masuk kelas ‘bisnes coaching’ pula ye).