Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza hari ini memuat naik karikatur berkenaan perbandingan antara gaji Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dengan jumlah minyak masak yang boleh dibeli.
Bersumberkan portal perisytiharan harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2020, pendapatan Saravanan sebenarnya mencecah RM143,628.55 sebulan.
Dengan membundarkan kepada RM140,000, kiraan Fahmi mendapati jumlah wang yang diperoleh Timbalan Presiden MIC sebulan itu boleh membeli 3,300 botol minyak masak 5 kg.
Hantaran Fahmi dengan tanda pagar Potong Gaji Menteri itu kemudiannya mengundang reaksi warganet yang rata-ratanya berang dan kecewa memandangkan banyak masalah rakyat gagal diselesaikan oleh jemaah menteri pimpinan Ismail Sabri.
“Wakil rakyat akhirnya yang mewakili gaji sebulan, makan sebulan pun boleh muntah, yang diwakili pula kais pagi makan pagi. Kalau dengan harga barang macam sekarang ni, penat kais tapi tak cukup juga,” keluh Isaiah Nathaniel.
Bagi Heri Ibrahim pula bertanyakan sama ada menteri cukup atau tidak sekiranya gaji mereka sekitar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.
“Jika cukup, banyak boleh dibuat untuk negara dan rakyat dengan lebihan gaji mereka. Mudah sahaja jika mereka betul-betul mahu membantu rakyat,” katanya.
Reaksi warganet itu susulan kegagalan kerajaan mengawal kenaikan mendadak harga barangan keperluan serentak dengan pemansuhan subsidi minyak masak sawit berbotol.
Nada marah orang ramai turut dapat dilihat pada pendapat Jamsari Awaludin yang menyarankan agar menteri hanya ditempatkan di bangunan kedai dua tingkat sahaja.
“Menteri patut letak kat shop lot 2 tingkat je. Staf duduk ground floor, membazir bangunan pejabat besar gedabak, satu sen tak berguna,” kecamnya.
Berhubung gaji tinggi yang dinikmati Saravanan juga, Mohd Firdaus Abu Naim menulis, “gaji RM140,000 tapi isu buruh tak selesai pun”.
Tidak kurang juga yang membayangkan begitu banyak harta negara perlu dibazirkan epada jemaah menteri bersaiz Kabinet XXL tak guna yang diterajui Ismail Sabri.
“Baru seorang punya gaji. Belum lagi Timbalan dia, kementerian dia, kementerian yang lain-lain.. woi!!! stres wehh dengar,” kata Rossly Mohd Noor pula.
Untuk rekod, sebahagian besar daripada senarai barisan Kabinet yang diumum Ismail Sabri pada 27 Ogos 2021, adalah Kabinet lama diterajui Mahiaddin Yassin sebelum ini.
Baca juga Duit rakyat dibazirkan bayar gaji menteri lebih tiga kali ganda