Lebih satu abad lalu, orang kulit putih atau kita panggil ‘mat saleh’ rupa-rupanya pernah takjub dengan kebolehan anak Melayu mendaki dan berkelah di air terjun.
Frank Swettenham yang merupakan antara pegawai British penentang Malayan Union ada menceritakan aktiviti yang baginya “baru” meskipun bahaya dalam ‘Malay Sketches’ yang mula diterbitkan pada tahun 1884.
Berlatar belakangkan masyarakat Melayu Perak, edisi terjemahan ke bahasa Melayu pula diterbitkan oleh Universiti Malaya (UM) pada tahun 2003.
Apa antara kata Frank Swettenham berkenaan cara orang Melayu khususnya di Perak mengisi masa pagi yang baginya adalah luar biasa?
“Orang-orang Melayu Perak kadang-kadang bersuka ria dengan sejenis kesukaan yang saya percaya hanya biasa di kalangan mereka sahaja.”
Hampir 140 tahun lalu, Residen Jeneral British yang pertama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu itu takjub melihat bagaimana orang Melayu Perak mengisi masa lapang hingga dia berpendapat orang Barat boleh mencontohinya:
“….kegiatan masa lapang cara Timur ini boleh disesuaikan dengan mudah dan jayanya di Barat.”
Sebabnya, kata Swettenham, “bukan sahaja disebabkan permainan ini sesuatu yang baru dan menarik, tetapi pergerakannya menyegarkan, ada pula unsur bahaya…”
Apa yang orang Melayu Perak buat hingga Swettenham menceritakan secara terperinci dalam satu bab?
Ceritanya, suatu pagi “seratus hingga dua ratus orang – lelaki, perempuan, dan kanak-kanak” berjalan beberapa kilometer menyusuri denai hutan hingga ke kaki bukit kemudian mendaki bukit curam “beratus-ratus kaki tingginya”.
Kita yang sekarang membacanya bagaikan ada pesta pula.
Tiba di satu kawasan air terjun, kata Swettenham, rombongan yang berpakaian berwarna-warni itu duduk berehat sekejap sahaja selepas mendaki kemudian mengutip kayu api, menghidupkan api dan memulakan kerja-kerja memasak.
Selepas itu, tibalah saat yang mereka nantikan – “menggeluncur” – menggeluncur ke bawah mengikut air terjun terus berdebur ke dalam danau di bawah.
Swettenham nampaknya begitu takjub melihat budak-budak lelaki memanjat batu yang curam dan licin untuk pergi ke puncak air terjun untuk menggeluncur ke bawah sepanjang 60 kaki tinggi (18 meter).
Tidak cukup dengan yang lelaki, yang perempuan pun akhirnya ikut sama walaupun ada yang mula-mulanya agak takut-takut.
Mereka mengeluncur dalam kumpulan berempat, berenam, dan berlapan tiap-tiap satu dalam dua, tiga atau empat barisan.
“…mereka bermula bersama-sama dan dengan gelak ketawa dan cuba-cuba hendak menolong satu sama lain tetapi tidak berjaya, mereka terjun merempuh masuk ke dalam danau… bergelutan dan menjerit-jerit keseronokan.”
Swettenham bahkan memperincikan cara untuk memahami cara permainan itu sebab dia hairan bagaimana mereka dilihat tidak cedera walaupun jatuh berdebur di kolam air terjun sampai bertimpa-timpa antara satu sama lain.
“Yang hairannya jarang-jarang sekali orang mendapat kecederaan, kalau ada pun tidaklah berat benar – tercalar atau bengkak sedikit di kepala, yang paling teruk pun hanyalah kehilangan sebatang gigi, kalau lebih berhati-hati sedikit, itu pun mungkin tidak berlaku langsung.”
Swettenham tulis, tiba jam 1 petang, mereka berhenti, bersalin pakaian kering dan menjamah makanan yang disajikan.
Apabila “bayang-bayang pun semakin memanjang”, mereka mula beredar pulang dengan “menuruni kawasan licin tadi, merentas padang yang bermandi matahari petang, masuk pula merentas hutan ke arah tempat pertemuan di mana mereka semua berkumpul pada pagi tadi dan dari situ mereka pulang ke rumah masing-masing.”
Baca juga Benarkah anda anak keturunan Melayu? Cuba jawab 20 teka-teki berusia lebih 100 tahun ini