“Bila saya kuat sikit nanti, boleh kita jalan-jalan dan makan-makan 😃”
Itu kiriman WhatsApp dari Ahmad Lutfi Othman berserta emojinya pada 15 Mei lalu selepas menghantar gambar pertemuan kami di rumahnya yang sebelum itu dirakam menggunakan telefon anak sulungnya, Luqman.
Saya dan seorang lagi rakan, Arif Juhani yang turut sama bertandang bolehlah dianggap sebagai antara anak didiknya di Harakah.
Rupa-rupanya perjumpaan pada 15 Mei itu adalah pertemuan terakhir kami – “alumni Harakah” – dengan Ahmad Lutfi yang pernah membongkar salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan seorang bekas Menteri Besar Selangor.
Secara peribadi, saya sebenarnya segan dengan Ahmad Lutfi. Mana tidaknya, saya mulai ‘kenal’ beliau semasa sekolah menengah ketika meletup zaman gelora Reformasi.
Ketika itu, saya suka membaca artikel dan analisis politik dari kaca mata berbeza daripada akhbar arus perdana.
Tapi dalam banyak akhbar dan majalah baru muncul tetapi sekejap saja hayatnya itu lantaran dirampas pihak berkuasa, saya perasan satu nama – Ahmad Lutfi Othman.
Ya. Membaca tulisan Ahmad Lutfi ketika itu amat selesa bagi pemahaman saya yang ketika itu di Tingkatan 5. Habis saja SPM, pembacaan saya terhadap akhbar dan majalah pembangkang ketika itu semakin meluas.
Kebetulan, tinggal di Gombak tidak jauh dari Taman Melewar yang sinonim sebagai markas Pas ketika itu, akses untuk mendapatkan akhbar dan majalah ‘alternatif’ begitu mudah.
Ya, saya jadi asyik membaca tulisan Ahmad Lutfi Othman hinggakan mana-mana artikel kalau ada ‘byline’ Ahmad Lutfi, saya akan baca dan hadam terlebih dahulu.
Takdir kemudiannya menentukan apabila saya kemudiannya diterima menjadi warga kerja Harakah pada 2012. Kalau dulu, saya kenal Ahmad Lutfi semasa bergelar ‘budak SPM’, di Harakah saya jadi anak buahnya pula.
Memang sepanjang empat tahun saya di Harakah, Ahmad Lutfi melayan saya juga staf Harakah lain sebagai kawan sebenarnya.
Sebelum tahun terakhir beliau di Harakah dengan terpaksa kerap mengambil cuti lantaran sakit, kami memang agak kerap “jalan-jalan dan makan-makan” usai saja hari deadline.
Bukan jalan-jalan kosong tetapi bersua muka dengan pimpinan, aktivis juga rakyat tertindas untuk menggali cerita dan berita. Bagi Ahmad Lutfi, turun ke lapangan itu perkara penting tapi pastinya menuntut masa, kudrat dan tenaga.
Agenda makan-makan itu pula bagi saya cara Ahmad Lutfi untuk meredakan tekanan selepas tekun mendengar, berfikir dan bersoal jawab dengan pemimpin dan individu yang ditemuinya.
Bahkan, sambil makan-makan itu pun, ada saja percambahan idea yang Ahmad Lutfi akan kongsikan. Lazimnya, idea itu akan diperincikannya pula dalam artikel-artikelnya yang mengisi kolum Catatan Hujung di akhbar Harakah.
Serentak dengan perpecahan Pas, gelora juga menyapa pasukan editorial Harakah. Seorang demi seorang staf berundur bahkan ada yang diminta berundur!
Mulai sekitar 2015, Ahmad Lutfi kemudiannya menyumbang tulisan dalam akhbar AMANAH pada awal penerbitan media rasmi parti AMANAH serta pada portal Malaysia Dateline. Itu pun bergantung pada tahap kesihatannya.
Walaupun kemudiannya banyak duduk di rumah kerana penyakit buah pinggang kritikal yang dihidapinya tetapi, beliau masih tekal menjalin silaturrahim.
Hanya jika Ahmad Lutfi memberitahu lama kami tidak bersua muka, saya secepat mungkin mencari ruang untuk bertandang ke rumahnya. Jarang saya yang tiba-tiba bersuara ingin menziarahinya kerana bimbang menganggu masanya untuk berehat.
Namun, bagi insan bernama Ahmad Lutfi yang berjiwa aktivis sejak menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM pada 1986 itu, takrifan ‘rehat’ baginya adalah berbeza.
Katanya, kalau dia berehat tanpa berbual dengan orang lain seputar isu politik semasa, badannya rasa lebih sakit dan fikirannya jadi makin sempit.
Dan memang menakjubkan bagi saya, kalau bertemu dengan Ahmad Lutfi, cara beliau yang rancak bercerita sambil sesekali ada berseloroh mengundang persoalan di hati saya, “eh, macam tak sakit pulak”.
Kalau berbual waktu malam di rumahnya jika bukan hari beliau perlu menjalani dialisis, perbualan rancak kami boleh belarutan hingga dua jam. Saya pula akhirnya mulakan ayat untuk berundur diri bimbangkan tahap kesihatannya yang perlu banyak rehat.
Demikianlah Ahmad Lutfi, seorang yang bicaranya lembut tetapi ‘sembangnya’ berisi. Beliau sebenarnya tidak pernah kenal erti rehat dalam menaakul dan menafsir aksi dan keputusan politik.
Malah, sebelum pandemik Covid-19 melanda, ada beberapa kali Ahmad Lutfi menyuarakan isi hatinya mahu menulis buku tetapi bukan mengenai politik lagi.
Saya mulanya terkedu mendengarnya apabila Ahmad Lutfi bersungguh mahu membukukan tulisan nukilannya sendiri dan rakan-rakannya tentang kematian.
Ideanya ketika itu, masing-masing menulis pengalaman berdepan dengan detik kematian ahli keluarga atau sahabat handai yang memberi kesan di hati.
Ya. Hari ini mengiringi jasadnya di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, mata saya bergenang, telinga pula terngiang-ngiang mengenangkan hajat Ahmad Lutfi yang tidak tertunai itu.