Ahmad Lutfi jadi motivasi tunggal untuk menulis, prihatin terhadap teman di sekeliling

Oleh ARIF ATAN

Innalillahiwainnailaihirajiun.

Pemergian Ahmad Lutfi Othman adalah kehilangan besar bukan sahaja buat dunia penulisan politik dan gerakan Reformasi, malah buat diri saya secara peribadi. Kehilangan yang amat besar dan tiada ganti.

Encik Lutfi adalah antara sosok terpenting yang bertanggungjawab menarik dan memberi galakan buat saya untuk menulis, walaupun saya tidak yakin kalau saya mampu dan sebaik ramai yang jauh lebih prolifik dan berkesan.

Selepas tulisan pertama saya diterbitkan oleh portal Merdeka Review pada 2012, saya terima panggilan daripada Encik Lutfi, yang ketika itu belum lagi saya boleh anggap sebagai kenalan rapat, jauh sekali pembimbing saya dalam menulis. Itu kali pertama saya bercakap dengan beliau secara langsung.

Encik Lutfi tokoh besar penulisan politik, sedang saya hanya seorang anak pelajar yang mengikuti tulisan beliau sejak zaman Harakah.

Beliau berhubung untuk menyatakan galakan; bukan kerana tulisan saya itu tulisan yang baik; tetapi kerana saya mencabar diri dan cuba untuk menulis.

Selepas tidak lagi menulis untuk Merdeka Review, saya berehat sebentar. Selepas beberapa lama, menyedari yang saya tidak lagi menerbitkan tulisan bersama portal itu, Encik Lutfi hubungi saya dan tawarkan ruang dalam Mingguan Amanah. Saya diberi kolum mingguan – Universiti Ketiga. Di situlah bermula hubungan kami yang lebih rapat.

Saban minggu berhubung menerusi telefon, mencadangkan tajuk, memberi pandangan dan tidak keterlaluan memberi “tekanan” untuk saya siapkan tulisan mingguan; ini berterusan sehingga kali terakhir bersama Malaysia Dateline setahun dua yang lepas.

Hampir kesemua tulisan saya dalam tahun-tahun kebelakangan ini, jika pernah tersiar, adalah di bawah seliaan beliau. Jika tidak kerana mesej mingguan beliau; ‘ada tulisan minggu ini?’, tulisan saya tidak akan siap. Erti kata lain, beliau jadi motivasi tunggal saya untuk menulis.

Keuzuran beliau dalam tahun-tahun kebelakangan ini banyak menyekat pergerakan dan membataskan kehidupan beliau. Namun dalam begitu pun, beliau sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap teman-teman di sekeliling.

Sekali-sekala kami bertukar mesej ringkas. Selalunya akan dimulai dengan ‘apa khabar Adam? Saya kurang sihat, lama tidak ikuti perkembangan…’ dan diakhiri saya dengan ‘saya doakan Cik Lutfi baik-baik sentiasa…’.

Saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan saya ketika ini. Ada sesal, ada terkilan. Kesedihan yang saya tidak dapat gambarkan.

Saya banyak terhutang pada Encik Lutfi, dan saya tidak yakin kalau saya sudah membalas jasa beliau setimpal dengan budi dan apa yang beliau sendiri lalui.

Pemergian Encik Lutfi bakal membawa kesunyian buat sebahagian besar kita. Kita pernah rindukan tulisan beliau, kini kita bakal rindukan sosok beliau sendiri.

Saya ucapkan takziah buat keluarga Encik Lutfi. Saya doakan Encik Lutfi baik-baik sentiasa di sana. Al-Fatihah.

*ADAM ADLI yang kini merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini adalah aktivis mahasiswa.

Baca juga Jalan-jalan, makan-makan dan hasrat membukukan kematian