Wanita yang tular gara-gara menanggalkan baju kurung Kedah dan tudungnya selain mengaku mempunyai tujuh teman lelaki meskipun sudah berkahwin sehingga dikecam orang ramai direman hingga esok.
Dia yang disyaki menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di ibu negara, ditahan malam kelmarin.
Wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, di Jalan Gasing, Petaling Jaya.
Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata suspek direman selama tiga hari hingga Selasa.
“Pada masa ini, suspek ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan,” dipetik BH.
Siasatan USJT terhadap wanita berusia 26 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menjelang Hari Raya Aidiladha lalu, tular rakaman video wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Amy mengundang kontroversi apabila mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaiannya di depan khalayak di Crackhouse Comedy Club (CH) dekat TTDI.
Sejurus tampil hanya berbaju bertali halus berwarna hitam dan skirt singkat paras paha berwarna perang serta berambut pendek paras bahu, dia kemudiannya mengambil semula mikrofon sambil menyebut, “Hello motherf***ers.”
Menerusi klip video yang dikongsi di TikTok itu, tertera kapsyen, “They laughed… they hugged me and said amazing set, you’re so brave. (Mereka (penonton) terhibur. Mereka memeluk saya dan memberitahu saya berani dan persembahan itu menakjubkan).
Sementara itu, dalam satu rakaman video yang dilakukan sendiri oleh Amy dalam sebuah kereta, dia yang memulakan ucapan “Hello dan Assalamuaikum semua”, memberitahu menerima banyak pesanan yang memintanya berkongsi sedikit mengenai dirinya.
Jelasnya, nama sebenarnya adalah Siti Amira Natasha, berusia 26 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak.
“Amy sudah berkahwin dan Amy ada tujuh boyfriends,” katanya.
Menurut Amy, dia dibesarkan dalam keluarga yang sangat berpegang teguh pada ajaran Islam dengan pada usia enam tahun sudah menutup aurat, mengenakan tudung dan memakai stoking.
“Tapi masa umur 20 tahun, Amy officially start tanggal tudung. Amy tak pakai tudung lagi.
“Tingkatan 1 hingga 3, Amy dihantar ke sekolah agama, sekolah tahfiz dan Amy sudah menghafal 15 juzuk al-Quran.
“Habis saja tahfiz, Tingkatan 4 dan 5, Amy ambil SPM, masuk Tingkatan 6, study bisnes. Habis form 6, masuk universiti di Pulau Pinang, ambil PR (Public Relations),” ujarnya.
Pada masa ini, tambah Amy lagi, dia bekerja dan separuh masa belajar undang-undang.
“Selain daripada itu, Amy juga sedang berjinak untuk jadi comedian.
“Anda boleh tunjukkan sokongan terhadap saya. Please share my video,” seru Amy pula.
Baca juga Wanita ini yang mengaku hafal 15 juzuk al-Quran, berkahwin selamba dedah jumlah teman lelaki