Almarhum Ahmad Lutfi Othman: Penulis yang amat kental dan berprinsip

Oleh ARIF ATAN

Apabila saya menerima berita pemergian arwah Ahmad Lutfi Othman pada waktu Subuh 9 Zulhijjah/9 Julai, hanya Allah sahaja tahu betapa sedihnya saya. Terasa lemah seluruh anggota tubuh saya.

Arwah Ahmad Lutfi boleh dikatakan sahabat rapat saya. Saya sentiasa mengkagumi beliau. Maka di ruangan ini, saya insyaAllah cuba menulis di dua siri sedikit catatan pengalaman antara saya dan arwah Ahmad Lutfi رحمه الله .

Jujurnya, saya tidak tahu ingin bermula dari mana. Mungkin saya harus bermula di saat kali pertama saya mengenali arwah.

Jika tidak silap saya, saya mula bertemu dengan arwah buat kali pertama semasa saya masih lagi belajar di universiti di mana dalam sebuah program bengkel penulisan, arwah hadir sebagai salah seorang pembentang kertas kerja.

Semasa itu, almarhum masih bertugas di akhbar rasmi parti Pas iaitu Harakah. Beliau hadir ke program bengkel itu hanya dengan menaiki sebuah motosikal yang agak usang.

Penampilannya begitu sederhana meskipun pada masa itu nama almarhum sebagai penulis politik mula mendapat tempat yang agak istimewa di persada penulisan siasah di negara ini.

Saya masih ingat mantan hakim besar Malaya sendiri membaca buku karangan almarhum mengenai isu pemecatan mantan Mufti Selangor, arwah Datuk Ishak Bahrom رحمه الله. Semasa itu buku itu agak laris di pasaran.

Secara kebetulan, saya amat minat membaca penulisan arwah. Isteri saya juga amat minat membaca tulisan beliau di Harakah.

Almarhum antara pihak yang banyak mendorong saya menulis sebuah kolum di Harakah pada masa itu di bawah tajuk “Peguam Muda Menulis” meskipun hakikatnya saya tidak layak pun untuk menulis di ruangan itu. Bukan untuk merendah diri tetapi itulah realiti. Off course, I have been a lousy writer.

Di samping membawa pandangan yang begitu tajam dan kritis terhadap kerajaan yang ada pada masa itu, saya juga amat tertarik dengan keindahan olahan bahasa almarhum. Mungkin adinda pada seniman Dinsman – juga kawan baik saya – ini juga mewarisi DNA dan bakat seni dari kekandanya itu.

Hubungan almarhum dan saya mula bertambah rapat dan akrab apabila saya ketika itu bersama Dewan Pemuda Pas Pusat dan diamanahkan menjadi Exconya dan pengerusi peguam muda Pas di bawah kepimpinan arwah Ustaz Abu Bakar Chik رحمه الله dan seterusnya di bawah YB Pokok Sena sebagai Ketua Pemuda dan YB Pulai sebagai Timbalan Ketua Pemuda.

Ketika itu, saya mula aktif mengendalikan kes-kes parti khususnya melibatkan pimpinan parti yang didakwa atau disaman di mahkamah khususnya YB Kota Raja – “penjenayah besar” yang regular di mata BN!

Boleh dikatakan kerja YB Kota Raja adalah masuk lokap dan kerja saya pula keluarkan beliau dari lokap!

Di samping itu, saya juga mula mewakili akhbar parti Pas ketika itu iaitu Harakah, maka saya sering juga berkunjung ke pejabat Harakah untuk berjumpa dengan orang kuat Harakah pada masa itu seperti arwah sendiri, saudara Zulkifli Sulong, saudara Taufek Yahya dan arwah Pak Syukur.

Seringkali juga saya berbincang isu-isu politik dan isu parti dengan arwah sama ada di bilik beliau di pejabat Harakah atau di Restoran Haslam di Jalan Pahang Barat. Kadangkala arwah ada juga mendapatkan nasihat perundangan dari saya.

Diringkaskan cerita, di samping lama di Harakah, arwah juga aktif menerbitkan buku dan makalah makalah dan akhbar politik.

Antara akhbar politik beliau yang agak terkenal dan begitu berpengaruh adalah akhbar DETIK. Ironinya, akhbar DETIK itu juga banyak membawa pelbagai detik cemas dan mencabarkan ke atas almarhum.

Semasa almarhum sibuk menulis dan menerbitkan pelbagai akhbar politik, umumnya beliau berhadapan dengan dua cabaran yang besar iaitu gangguan dan ancaman berterusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang begitu menyesakkan dan juga ujian kegagalan pihak-pihak tertentu membayar hasil produk almarhum.

Saya tidak pasti berapa kali almarhum menghadapi detik-detik pahit, cemas dan dramatik apabila buku atau akhbar yang beliau terbitkan dirampas dengan rakus oleh pihak berkuasa hatta di kilang pencetakkan.

Tetapi itu semua tidak pernah sama sekali melemahkan semangat kental yang ada pada penulis hebat ini.

Tidak tahu berapa kali almarhum dipanggil oleh polis atau KDN untuk disoal siasat. Itu juga tidak berkesan melemahkan beliau. Beliau tetap kental dan berhati waja disebalik wajahnya dan perwatakkannya yang agak tidak keras. Yang lebih mengkagumkan saya, almarhum masih boleh tersenyum ceria di saat-saat cemas itu.

Jujurnya, saya tidaklah begitu pelik dengan kekentalan jiwa almarhum kerana arwah pernah ditahan di bawah ISA semasa menyuarakan isu hak bersuara pelajar UM pada masa itu membantah konsert Sheila Majid di UM.

Hatta semasa berstatus seorang pelajar di menara gading, arwah pernah dibuang universiti kerana lantang membela isu hak kebebasan beragama pelajar wanita muslim yang memakai purdah.

Mendiang Karpal Singh juga pernah membela puan Halimatus Saadiah yang dipecat sebagai kakitangan awam kerana memakai purdah.

Inilah contoh insan-insan hebat yang tidak takut membela golongan bawahan yang di”buli” oleh pihak yang berkuasa.

Ya, hidup almarhum Ahmad Lutfi kaya dengan perjuangan ibarat perjuangan epik David vs Goliath.

Itukah kehidupan almarhum sahabat saya ini. Sentiasa berani bersuara bagi pihak yang lemah dan ditindas.

Apabila akhbar beliau yang dicetak tidak berkala diterbitkan atas nama “Haraki”, kali ini pihak KDN bukan sahaja bertindak ganas dan rakus merampas akhbar tersebut, kakitangan almarhum yang bernama Zabidi Morad juga ditahan dan didakwa di mahkamah.

Arwah lalu menghubungi saya dan meminta saya mewakili saudara Zabidi. Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju.

Kes didakwa di bawah Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984. Kes tersebut dibicarakan di mahkamah majistret di Kuala Lumpur di hadapan seorang majistret wanita yang agak junior.

InsyaAllah, bersambung nanti tentang kes itu dan juga kes almarhum pernah ingin dimasukkan ke penjara kerana dikatakan menghina mahkamah.

Baca juga Jalan-jalan, makan-makan dan hasrat membukukan kematian