Selepas tanggal baju dan tudung, pelawak ini dakwa sekolah kerajaan asing ikut agama, ustazah beritahu bukan Muslim masuk neraka

Oleh ARIF ATAN

Selepas insiden tanggal baju dan tudung melibatkan wanita bernama Amy, seorang lelaki yang dikatakan pelawak, Rizal Van Geyzel mendakwa sekolah kerajaan mengasingkan murid mengikut kaum.

Berlaku di lokasi sama di Kelab Komedi Crackhouse dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di Kuala Lumpur, Rizal berkata, guru agama di sekolah kerajaan juga memberitahu bahawa orang bukan Islam akan masuk neraka.

Dia yang “berjenaka” dalam bahasa Inggeris itu juga difahamkan merupakan pengasas bersama kelab komedi tersebut.

“Jadi, apapun saya pergi ke sekolah kerajaan. Dan kamu tahu, apa mereka buat?

“Sebaik sahaja kamu tiba di sekolah, mereka asingkan kamu mengikut agama kamu, bukan?

“Jika kamu Muslim, kamu pergi ke pengajian Islam, ‘kan? Dan kamu bukan Islam, kamu akan masuk neraka.

“Itu yang mereka beritahu saya. Itu yang ustazah dan ustaz beritahu saya.

“Eh, kamu tahu? Kawan Cina dan India akan masuk neraka.

“Saya seperti, holy sh*t,” katanya dalam sedutan rakaman video berdurasi 46 saat yang dikongsi di TikTok atas nama @rizalvangeyzel.

“Lawak” lelaki dipercayai berketurunan India itu dilihat mendapat sambutan hangat penonton dengan hilaian gelak dan tepukan audiens.

“Kita patut beritahu mereka,” katanya lagi sebelum berhenti sejenak apabila khalayak penonton kembali ketawa berdekah-dekah.

Rizal seterusnya menyambung “lawak”nya dengan mengaitkan pasukan bola keranjang sekolah.

“Saya sedang cuba untuk sertai pasukan bola keranjang sekolah, saya tidak mahu bermain bersendirian.

“Apa yang berlaku pada Muthu dan Ah Chong?

Ho, condemn already bro, condemn already,” tambahnya lagi juga diikuti ketawa audiens.

Sejurus sedutan “jenaka” itu berakhir, tertera poster berkenaan persembahan Rizal yang juga ayah kepada empat anak itu dengan slot diberi nama, “The Greatest Bits of Rizal Van Geyzel”.

Persembahan “stand up comedy” yang dilihat berbaur fitnah terhadap institusi pendidikan kebangsaan dan menyentuh sensitiviti agama itu berlangsung pada 1 Julai lalu dengan bayaran tiket sebanyak RM65.

Lokasi bagi persembahan yang dilihat sebagai anti Islam itu juga merupakan tempat seorang wanita Melayu mengaku berasal dari Kuala Kangsar menanggalkan baju kurung Kedah dan tudung selepas mendakwa menghafal 15 juzuk al-Quran.

Susulan itu, lesen operasi kelab komedi yang kontroversi itu digantung sementara oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Walau bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan berkenaan dibantah keras oleh pelawak dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki yang menganggap kontroversi itu berpunca daripada individu dan bukannya kelab komedi tersebut.

Sementara itu, semakan Malaysia Dateline di laman Twitter Rizal mendapati terdapat ciapan yang dipin dengan kapsyen, “Bantu kekalkan Kelab Komedi dalam perniagaan!” berserta beberapa tanda pagar antaranya, “sapotlokal”.

Baca juga Wanita disyaki hina Islam direman hingga esok

Baca juga Dakwa hafal 15 juzuk al-Quran, wanita tiba-tiba tanggal baju di kelab komedi