INI bukan cerita mengenai orang ternama. Terkenal pun tidak. Namun bila diceritakan nanti, mungkin ada yang perasan, tahu dan mungkin ingin tahu. Namanya Saleh bin Ahmad Arifin. Berasal dari Chepor, sebuah kampong Melayu di pinggir bandaraya Ipoh. Saya panggil dia, pak cik sahaja tanpa nama.
Bertahun-tahun bekerja sebagai tukang kebun sekolah. Membersih, memugar dan menyuburkan tanaman keliling kawasan sekolah. Hatinya senang memandang kawasan sekolah menghijau, bersih dan subur. Kini sudah lama pencen.
Dia memang bukanlah pimpinan parti. Kelibatnya sering ada di program penting parti seperti konvensyen, demonstrasi, pilihanraya kecil atau ceramah. Jika dalam program Liqa Fiqr yang diadakan sebulan sekali di Markaz Tarbiyah Pas Perak di Ayer Kuning, pasti dia ada. Kini dia bersama dengan AMANAH, parti Mat Sabu.
Dia datang pun, bukan untuk berucap. Dia sekadar mendengar. Memasang telinga dan mendengar penuh khusyuk. Entah apa yang berligar dalam fikirannya. Sesekali dia bertakbir sama dengan orang yang sedang bersemangat mendengar ceramah. Barangkali kehadirannya dilihat sekadar mencukupkan korum.
Pandangan begitu mungkin kerana kurang mengenali susuk lelaki tua yang sudah berusia lebih 80an. Tidak banyak yang boleh dia lakukan melainkan menjadi saksi sejarah perubahan manusia bernegara.
Pernah juga suatu ketika diamanahkan memegang Ketua Pas Cawangan Kampong Pasir Putih di parlimen Ipoh Timur. Tiada rotan, akarpun berguna. Kata Tok Guru Nik Aziz, tidak dapat buat semua, Jangan tinggal langsung.
Pas Ipoh Timur tidak bertanding. Pas Ipoh Timur menjadi kawasan yang membantu Pas Gopeng atau Tambun yang menjadi kawasan bertanding. Ipoh Timur kubu kuat pembangkang. Antara tokoh yang pernah dilahirkan di sini ialah Dr. Seenivasagam, P. Patto, Kerk Kim Hock dan Lim Kit Siang.
Mula menyertai Pas sewaktu zaman reformasi. Ketika itu anak-anaknya berkongsi kaset dan video ceramah pimpinan Pas di rumah. Gelombang reformasi dan ketokohan Ustaz Fadzil Mohd Noor tiba-tiba mengisi kelompangan dalam jiwanya.
Sebelum itu, fikirannya hanya melihat Umno sahaja yang memperjuangkan kepentingan bangsa dan negara. Dia aktif sebagai penyokong Umno di peringkat kampong dan cawangan.
Lama kelamaan jiwanya mulai rapuh setianya pada Umno. Selama ini, tiada parti lain yang berpeluang memerintah negara, mengapa Umno asyik menuding jari pada pembangkang atas masalah yang menimpa dalam negara. Telunjuk lurus, kelingking berkait.
Umno yang berkuasa tetapi mereka tidak menggunakan kuasa untuk Islam. Mereka menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan mereka sahaja. Umno parti keramat bangsa itu kini sudah parah barahnya.
Dia mulai berjinak- jinak menjengok ceramah parti pembangkang sekitar Lembah Kinta. Diajak isterinya bersama ke tempat program. Sampai sekarang, isterinya akan setia menemani ke tempat program. Harapannya hingga ke syurga.
Tempat ceramah meriah seperti pasar malam yang menjual aneka barangan daripada kaset, video ceramah, pakaian, peralatan ibadah, makanan, minuman dan sebagainya. Ada yang jual ubat-ubatan. Ubat kuat ada. Ubat kurap pun ada.
Itu memang suasana baru yang menarik. Ceramah di padang dan di celah-celah bangunan hingga embun mulai turun. Sebelum ceramah bermula, ada acara solat Isyak berjemaah di kawasan atau surau dalam markaz. Baginya suatu yang secocok dengan jiwanya yang sudah lanjut berusia.
Apabila anak-anaknya aktif dalam politik dan menjadi barisan hadapan parti, dia juga semakin ke hadapan. Tapi bukan sebagai pemimpin tetapi ke hadapan untuk melunasi tanggungjawab sebagai ahli yang setia pada perjuangan. Berada di baris hadapan bukan bermakna untuk merebut peluang tetapi rela untuk awal yang berkorban atau dikorban.
Kini kudratnya tidak sekuat dahulu. Kaki dan lututnya tidaklah boleh berbuat lasak. Untuk duduk berlamaan, mungkin agak menyukarkan. Jika di rumah, dia lebih memilih untuk berehat, melunjur kaki dan bersandar di kerusi atau di dinding sambil mengenang kisah lalu.
Namun semua kesakitan dan lelah hilang pabila bersua dengan pimpinan dan sahabat seperjuangan. Entah daripada mana semangat dan kudrat itu datang?
Tidakkah kalian fikirkan?