Festival kebudayaan Bon Odori ke-46 yang dianjurkan hampir setengah abad di negara ini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung dan akan diteruskan lagi tahun depan.
Kehadiran pengunjung yang begitu ramai kali ini setelah dua tahun tidak diadakan akibat penularan pandemik Covid-19.
“Sambutan festival kali ini berjalan lancar dan begitu menggalakkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad.
Jumlah kehadiran pengunjung festival edisi ke-46 ini meningkat berbanding kali terakhir dilaksanakan pada 2019 iaitu kira-kira 45,000.
Menurut Azrul, pengunjung dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka yang merupakan salah satu ciri yang diperlukan untuk acara berskala besar.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut meluangkan masa kira-kira 30 minit menyaksikan festival kebudayaan masyarakat Jepun, dipetik Selangorkini.
Azrul berkata pemimpin negeri juga mengadakan perbincangan secara tidak rasmi bersama Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.
Katsuhiko Takahashi berkata Festival Bon Odori ke-46 yang diadakan hari ini adalah bukti hubungan dua hala yang mesra yang dinikmati oleh kedua-dua negara.
“Jepun sangat menghargai kepelbagaian budaya dan toleransi Malaysia. Kepelbagaian dan toleransi itu menggerakkan usaha untuk mempromosikan hubungan dua hala dalam semua aspek termasuk Festival Bon Odori ini.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun serta sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, Malaysia.
Jawatankuasa penganjur Bon Odori berharap upacara ini menjadi satu lagi peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan rakyat Jepun dan Malaysia,” katanya pada sidang media Festival Bon Odori ke-46 di sini.
Kira-kira 1,500 syarikat Jepun melabur di Malaysia dengan menawarkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Festival Bon Odori 2022 di Kuala Lumpur Dai Hoshiai berkata festival ini adalah acara kebudayaan yang memaparkan tarian rakyat Jepun dan ia disambut setiap tahun sebagai acara pada musim panas yang diadakan di setiap daerah di setiap bandar di Jepun.
“Ini hanyalah acara kebudayaan. Sudah pasti kami buka (Bon Odori) kepada semua orang,” katanya.
Pada 8 Jun lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya tidak menyekat program Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam.
Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menitahkan Jais supaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya program itu.
Ia susulan kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengingatkan umat Islam tidak menyertai program yang bertentangan dengan hukum syarak termasuk festival Bon Odori.
Berikutan itu, Idris dicadangkan supaya menghadiri sendiri ke festival tersebut untuk memahami perbezaan antara aktiviti agama dan budaya.
Baca juga: Cerita bukan orang ternama!
Baca juga: Warga emas ditemui mati dalam rumah berkunci