Ada anak yang tidak jumpa ayah sejurus celik mata manakala golongan wanita pula terpaksa bergasak seperti main ragbi di perut tren LRT hampir setiap pagi hari berkerja.
Demi mengelak rasa kusut dan stres, ramai kelas pekerja di ibu kota terpaksa keluar awal sebelum matahari terbit lagi untuk menggunakan pengangkutan awam kendalian RapidKL.
Sejak semua sudah bekerja di pejabat, realitinya perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) sesak macam sardin dalam tin seawal pukul 7 pagi lagi.
Penumpang yang menggunakan pengangkutan awam itu untuk pergi bekerja terpaksa beratur panjang dan menunggu lama di platform semasa waktu puncak hingga 9 pagi.
Gambar perkongsian @nr_tasnim di atas merupakan keadaan biasa di stesen LRT laluan Kelana Jaya semasa waktu puncak.
Ramai pengguna LRT dan MRT menceritakan keadaan dan pengalaman mereka berdepan dengan masalah kesesakan di tren.
Seorang pengguna tetap LRT dan MRT dari Kajang ke Kerinchi, Nur Aqilah Amira memberitahu beliau sudah lali dengan masalah tren sesak lebih-lebih lagi pada waktu puncak.
“Tapi memang diakui tahun ini macam lebih teruk. Nak tak nak, terpaksa hadaplah sama bersesak tu.
“Biasanya saya gerak awal, lepas Subuh terus pergi MRT Kajang. Kalau balik tu tak dapat elak. Memang gasak sajalah macam main ragbi,” katanya dipetik dalam komentarnya di media sosial.
Sementara itu, pengguna pengangkutan awam, Shaxuan Mohd berkata, seawal jam 7 pagi, tren dalam MRT sudah sendat.
Hal sama diakui Syakirah AJ yang menyifatkan keadaan di stesen LRT amat sesak berbanding dua tahun lalu.
“Pukul 7.15 pagi dah hampir penuh gerabak tren. Sebelum pandemik, 7.15 pagi masih boleh santai lagi,” jelasnya.
Kena himpit
Orang ramai juga mengakui stres apabila terpaksa berhimpit tanpa mengira sama ada lelaki mahupun perempuan.
“Saya naik LRT dari Sri Rampai ke KL Sentral. Walhal, dari Gombak ke Sri rampai tu hanya menempuh 4 stesen saja. Itu pun sudah sangat penuh, sampai kena himpit.
“Malah, dah penuh pun sampai stesen lain, orang masuk lagi,” luah Nisha Shafika.
Pengalaman Nisha itu juga diakui Janah Ahmad Darbi yang menulis, “Pernah naik dari Taman Melati, tren dari Gombak pun dah padat 😪.”
Masalah sama dihadapi penumpang di stesen Universiti dekat LRT laluan Kelana Jaya, Mohamad Izzat Zaidi.
“Sejurus tren sampai pukul 9 pagi, tiga hingga empat orang saja boleh masuk untuk satu baris. Memang padat habis. Empat kali beratur semua padat,” katanya.
Tidak kurang juga mempersoalkan galakan kerajaan supaya rakyat terutama penduduk sekitar Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam ketika masalah tidak cukup gerabak tidak terlebih dahulu ditangani.
Ada juga yang secara sinis menyifatkan masalah kesesakan dalam LRT dan MRT sudah seperti negara maju Jepun hanya gaji saja belum sama jumlahnya.