Nasib baik bukan Mujahid yang jadi menteri, warganet ‘lega’ Siti Nuramira tidak didakwa di Mahkamah Syariah

Oleh ARIF ATAN

Sebahagian warganet secara sinis berasa lega memandangkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bukan lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) ketika Siti Nuramira Abdullah tidak didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

Reaksi orang ramai itu susulan keputusan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap wanita itu yang didakwa menghina Islam bagi mengelak dia dituduh di dua mahkamah berbeza.

Dalam masa sama, orang ramai juga bertanyakan di mana NGO dan invidu tertentu yang semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) lantang bercakap tentang kepentingan Islam.

“Nasib baik bukan Mujahid yang jadi menteri, Yusof Azmi mana ni?” soal AB Manap Gani.

Hal sama juga dibangkitkan Roslan Ismail yang berpendapat bagaimana naratif Islam terancam cenderung dimainkan jika PH masih di Putrajaya.

“Kalau PH, Mujahid (jadi Menteri Agama) habislah semua masjid, surau digempur berbulan-bulan isu Islam diancam.

“Maki hamun jangan cakaplah, dibolehkan. Mana keadilan Islam ketika itu?” bidasnya.

Tidak kurang juga bertanyakan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad masih wujud.

“Menteri Agama membisu apa hal?” soal Mas Albanj Wahab pula.

Semalam, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan menerusi kenyataannya berkata, keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Siti Nuramira bersesuaian dengan maqasid (matlamat) syariah.

Jelasnya, maqasid syariah menekankan pendekatan ta’dib dalam pentadbiran jenayah syariah yang diharap dapat membawa kembali wanita itu ke arah amalan Islam sebenar.

Katanya, pertuduhan jenayah sudah dimulakan di mahkamah sivil pada 13 Julai lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

LANJUT MENYUSUL

Baca juga ‘Buatlah lawak lagi, kami nak ketawa’, netizen tempelak pasangan kontroversi

Baca juga Dakwa hafal 15 Juzuk Al-Quran, Wanita tiba-tiba tanggal baju di kelab komedi