Detik seorang anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) rebah ketika perbarisan Hari Penguat Kuasa semalam buat orang ramai sebak.
Tindakan pantas seorang lelaki yang kemudiannya diketahui adalah bapa saudara kepada Nik Mohamad Adhar, 22, menyedarkan kita bagaimana berharganya nilai kasih sayang.
Abdul Aziz Ya’acob, 60, dan isteri, Rosmawati Ismail, 53, dilapor menjaga Nik Mohamad sejak berusia tiga bulan sejurus ibu kandungnya meninggal dunia diikuti ayahnya pada usia hanya tujuh tahun.
Namun, seorang pemuda KAMARUL AFIQ AS-SUBANJI ada pendapatnya sendiri apabila mengingatkan kita semua bahawa dalam ibadat solat pun dibenarkan untuk menyelamatkan orang di sebelah yang sakit, apatah lagi semasa perbarisan.
Ikuti pandangan beliau ini yang mendapat perhatian warganet dengan lebih 1,000 tanda suka hanya selepas 2 jam dikongsi di Facebook beliau:
Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat saya. Bagi saya, perbarisan seperti ini jauh menyimpang dari ajaran agama. Dan setahu saya, dalam Islam tak pernah ajar disiplin sekeras ini.
Dalam perbarisan macam ini, ahli-ahli perbarisan dilarang sama sekali membantu rakan yang lain sekiranya rebah akibat kelesuan, atau sakit.
Dalam solat yang menghadap Raja Segala Raja sekali pun, sekiranya orang yang solat di sebelah kita rebah kerana sakit, kita dibenarkan untuk batalkan solat untuk bantu dan selamatkan orang sebelah yang sedang sakit.
Kalau dengan Raja Segala Raja pun dibenarkan untuk batalkan SOLAT, kenapa dalam perbarisan tidak dibenarkan?
Tak salah nak buat kawad kaki atau perbarisan. Namun, nyawa lebih utama.
Jangan kita lebihkan kerasnya disiplin perbarisan berbanding tuntutan agama yang mewajibkan kita mengutamakan nyawa dan keselamatan.
Baca juga Lelaki teragung, bapa saudara jadi benteng agar anak saudara tak rebah undang sebak