Majlis Belia Orang Asal Sabah mengingatkan pemimpin agar tidak memandang remeh hasrat golongan muda negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Menerusi kenyataan majlis itu, impian atau hasrat anak muda kini tidak lagi boleh dipandang enteng oleh pemimpin kerana hasrat mereka telah diterjemahkan kepada bentuk undi.
“Pemimpin harus berwaspada kerana jika diabaikan pasti akan memberi impak yang besar terutamanya dalam pilihan raya,” katanya.
Menyedari PRU-15 bila-bila masa sahaja akan diadakan, Majlis Belia Orang Asal Sabah berkata, pihaknya berhasrat untuk menggalakkan anak muda supaya keluar mengundi.
Jadi sebagai persediaan, jelasnya, kempen Undi Belia Orang Asal 100% diadakan bagi memastikan segmen pengundi golongan muda telah bersedia untuk membuat keputusan tepat di kertas undi.
“Kesediaan untuk membuat keputusan adalah kriteria penting kepada pengundi baru. Dengan adanya kempen seperti ini mampu menggalakkan lagi belia untuk keluar mengundi,” katanya.
Majlis itu Sabah berharap kempen ini akan terus dijalankan bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada belia khususnya tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia untuk turun mengundi.
“Seruan kami kepada belia, keluarlah mengundi tanpa alasan, undilah untuk perubahan,” kata pertubuhan itu lagi.
Baru-baru ini, Program Kem Belia Orang Asal dengan tema Memperkasakan Belia Orang Asal: Berani Cekal dan Bijak diadakan di Kampung Tampasak Penampang selama tiga hari dua malam.
Seramai 70 peserta dari seluruh daerah Sabah termasuk 10 belia dari Semenanjung terlibat. Antara pengisian utama program ini adalah pelancaran Kempen Undi Belia Orang Asal 100%.
Baca juga Asyik makan tapi elok pula kurus, anak muda ini kongsi rahsia tidak lagi gemuk
Baca juga Tiga melecur selepas kapal terbakar, selamatkan diri dengan terjun sungai