‘Potong gaji nanti menteri tak cukup makan’, netizen ‘sokong’ biar rakyat saja perit

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai secara menyindir menyokong kenyataan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berhubung tuntutan pemotongan gaji menteri.

Ada yang menegaskan langkah pemotongan gaji menteri dibimbangi akan menyebabkan menteri tidak cukup makan.

“Kalau potong gaji, kasihan pak menteri tak cukup makan nanti. Kalau kurang makan otak pun tak cergas jadi pentadbiran pun jadi haru-biru,” kata James Jaba Potin.

Bagi pengguna Facebook Che Yah pula, jika benar kerajaan menjiwai perit rakyat berdepan dengan kenaikan mendadak kos sara hidup, elok dikurangkan jumlah menteri dan timbalan.

“Kurangkan jumlah menteri daripada 70 kepada 35 orang. Banyak pun tak tahu nak buat kerja. Tak guna, menghabiskan duit pembayar cukai,” kecamnya.

Pemotongan gaji menteri juga dianggap tidak luak memandangkan pendapatan bulanan yang mereka peroleh amat tinggi.

“Potong 50 peratus pun masih mewah hidup. Macam-macam elaun mereka dapat,” kata warganet.

Semalam, Annuar Musa dalam sidang media di Parlimen berkata, kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

Dia juga menggesa pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun itu untuk ‘berhenti bermain politik’ dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas.

“Boleh kamu namakan satu negara yang dapat menurunkan kadar inflasi menerusi pemotongan (gaji dan elaun menteri)?

“Katalah kamu potong RM10,000 daripada setiap menteri. Darab dengan 36 (jumlah menteri), berapa jumlah wang yang kamu dapat?

“Boleh kamu jamin masalah inflasi selesai dan harga barang tak naik? Come on, don’t play politics (jangan main politik),” kata Annuar lagi.

Baca juga Potong gaji menteri, gaji seorang boleh beli 3,300 botol minyak masak 5 kg

Baca juga Sanggup habiskan RM26.7 juta untuk tali pinggang kejuaraan milik Muhammad Ali