‘Senaman terbaik adalah suka hati kau’, pendapat perunding kesihatan ini tarik perhatian netizen

Oleh ARIF ATAN

Perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan selebriti, Kevin Zahri menegaskan apa sahaja bentuk senaman yang terbaik sebenarnya terpulang pada keselesaan individu.

Menurutnya, tiada mana-mana senaman tertentu yang boleh dianggap terbaik sebaliknya kepelbagaian adalah sebaik-baik senaman.

“Ia adalah kepelbagaian. Tiada satu senaman yang terbaik untuk semua.

“Ada yang geng Zumba, hiking, boling, badminton. Ada juga geng crossfit, geng bukan crossfit, geng jogging, berbasikal.

“Bagi saya, senaman yang terbaik adalah kepelbagaian sebab tak cepat bosan. Badan juga tak cepat boring sebab badan dapat perangsang senaman yang berbeza-beza.

“Contohnya, zumba. Jika lagu yang sama saja anda layan hari-hari pun bosan. Itu sebab keluar lagu yang baru, rentak yang baru untuk beri anda kepelbagaian,” katanya dalam rakaman video yang tular di media sosial.