Budak darjah 3 pun dah terdedah dengan ‘influencer’ banyak mencarut

Oleh ARIF ATAN

Seawal darjah 3 lagi, ramai murid terutama dalam keluarga Melayu terdedah dengan pempengaruh atau ‘influencer’ di media sosial dengan kandungan tidak berfaedah dan lebih buruk banyak mencarut.

Hal itu dilihat berlaku selepas Mohd Fairuz Bin Abu menerusi Facebook beliau, Akhi Fairuz Al-Jengkawi berkongsikan papan putih yang tertera senarai pempengaruh yang budak-budak berumur 9 tahun itu ikuti.

“Dalam slot tadi (kelmarin), saya minta anak-anak ni (budak darjah 3) tulis siapa yang mereka subscribe dan follow di media sosial (TikTok, Youtube dan lain-lain).

“Saya yakin majoriti mak ayah tak kenal kebanyakan nama yang ditulis budak umur 9 tahun ni,” katanya.

Susulan itu, warganet terutama terdiri daripada golongan ibu bapa berusia kurang 30 tahun memberitahu mereka tahu siapa sebahagian pempengaruh yang disenaraikan.

“Setakat yang saya tahu banyak channel gaming. Sebenarnya, lebih baik tak payah sebab masa tengah main game tu, mereka ada mencarut jugak,” kata seorang bakal ibu mengaku berusia 25 tahun.

Sementara itu, pengguna Facebook Hasni Ismail pula berharap ibu bapa memantau apa yang ditonton oleh anak masing-masing.

“Menakutkan. Adakah mak ayah pantau apa yang anak-anak follow?” soalnya.

Hal ini memandangkan, terdapat murid seawal 9 tahun turut menyenaraikan saluran Youtube yang memaparkan pergaulan bebas, menggunakan bahasa kotor serta menyentuh sensitiviti agama yang tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak.

Selain melayan ‘kaki game‘ dan Youtuber, ramai budak Melayu juga dilihat melanggan dan menjadi pengikut Instafamous, Tiktokers dan individu yang giat menghasilkan rakaman berbentuk prank.