Najib ikrar aset RM4.49 juta kepada mahkamah, ini senarai apa yang dimilikinya

Oleh ARIF ATAN

Sebanyak RM4.49 juta nilai aset dimiliki Datuk Seri Najib Razak seperti diikrarkannya di mahkamah berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Aset bekas Perdana Menteri itu termasuk deposit Amanah Saham Nasional Berhad, beberapa lot tanah dan rumah serta kereta mewah jenama Mercedez-Benz dan Bentley Continental Flying Spur.

Ahli Parlimen Pekan itu membuat pendedahan berkenaan selepas SRC dan sebuah anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd selaku plaintif memperoleh perintah injunksi mareva daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang Najib daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai hingga RM42 juta.

Bekas Presiden Umno tersebut dilapor mendedahkan aset miliknya di dalam afidavit tambahan yang difailkan menerusi Tetuan Shafee & Co pada 20 Julai lalu.

Aset yang dimiliki Najib, 69, antaranya adalah lot tanah dan rumah di Pekan, Kuantan, Genting Highlands dan Semenyih dengan nilai keseluruhan mencecah RM460,987.

Dalam masa sama, Najib juga mempunyai lima unit kereta jenis Mercedez-Benz dengan empat daripadanya dan sebuah kereta Bentley Continental Flying Spur diperoleh sebagai hadiah.

Selain itu, dia turut memiliki sebuah motosikal Honda EX-5 dan motosikal Kawasaki juga diperoleh sebagai hadiah bernilai RM252,000.

Bekas Pengerusi BN berkenaan turut memiliki wang tunai berjumlah RM1.2 juta dalam akaun Affin Bank dan wang pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Berhad berjumlah RM2.5 juta.

Baca juga Mampukah Najib bebas dengan 94 alasan di mahkamah?