Festival minum arak tidak membudayakan gaya hidup sihat, lebih banyak kesan buruk

Oleh NASUHA RAHMAN

Penganjuran Oktoberfest atau festival minum arak sewajarnya diteliti kembali kebenarannya oleh pihak kerajaan kerana ia tidak membudayakan gaya hidup sihat sebaliknya mendatangkan banyak kesan buruk.

Arak mengandungi sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat iaitu etanol.

Kesan buruk arak antaranya berisiko menyebabkan kecelaruan tingkahlaku dan fikiran serta mengakibatkan ketagihan.

Banyak tragedi buruk di atas jalan raya berlaku kesan dari pemanduan secara mabuk oleh peminum arak.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, Zamir Ghazali berpandangan melarang penganjuran festival arak sekaligus memberi signal untuk mengamalkan gaya dan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Tidak menjadi kecacatan sekiranya festival ini tidak diadakan sebagaimana tahun sebelumnya, hal ini kerana kita cuba membawa rakyat Malaysia yang lebih sihat dan harmoni.

“Walaupun kita boleh bersetuju, bahawa meminum arak adalah satu tindakan yang dibenarkan dalam kalangan bukan Islam, dan perlu dikekalkan begitu keadaannya di Malaysia, namun penganjuran Oktoberfest sewajarnya diteliti kembali kebenarannya oleh pihak kerajaan,”ujarnya.

Sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini berusaha keras untuk menjayakan Rang Undang Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang mana ia adalah amalan yang memberi mudarat kepada kesihatan, adalah amat seiring sekiranya kerajaan juga dilihat keras terhadap budaya meminum arak, ujarnya lagi.

Oktoberfest merujuk kepada satu festival meminum arak dalam kalangan orang bukan Islam yang disambut di Munich, Bavaria, Jerman dan turut diikuti di banyak negara seluruh dunia.

Oktoberfest sentiasa menjadi isu setiap tahun apabila ada kumpulan yang mendesak ia diharamkan, dan kumpulan yang mempertahankan atas dasar raikan kontrak sosial masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Baca juga: Gara-gara berhutang, bekas tentera palsukan dokumen untuk jual 12 kereta mewah yang disewa

Baca juga: Wanita jumpa jodoh ketika raikan majlis penceraian sendiri