Ajaib dan pelik. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bernilai RM9.13 bilion sepatutnya dibentangkan pada sidang Mac, sebaliknya hanya dibentang pada hari terakhir persidangan pada 4 Ogos 2022.
Persoalan yang berlegar di pemikiran Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, terus menjadi persoalan.
Sepatutnya, ia dibentang enam bulan yang lalu bagi membolehkan perbahasan Parlimen dan semakan awam yang lebih mendalam dilakukan kerana mesyuarat terakhir PAC mengenai isu LCS adalah pada 8 Mac 2022.Ianya telah menjadi satu kecuaian tanggungjawab Parlimen dimana terdapat 16 hari untuk laporan PAC tersebut dibentangkan, tetapi ianya tidak berlaku.
“Lebih menghairankan walaupun tidak dibentang pada sidang Mac, mengapa pula laporan PAC ini tidak dibentangkan kepada Dewan pada hari pertama persidangan 12 hari Parlimen Julai-Ogos 2022 yang bermula pada 18 Julai bagi membolehkan perkara ini diteliti dan dibahaskan di Parlimen.
“Kelihatan seperti ada pihak yang sengaja melengah-lengahkan pembentangan laporan PAC tersebut agar perkara ini tidak mendapat perhatian dan penelitian yang sepatutnya dan siapakah gerangan orang tersebut.
” Rakyat Malaysia mahukan satu penjelasan mengenai kelewatan pembentangan laporan PAC membabitkan skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai tersebut dan pembentangan pada 4 Ogos telah menjadi lapuk kerana ia sepatutnya dibentang pada Mac yang lalu,” ujar beliau kesal melalui pautan facebooknya.
Tambahnya lagi, LCS pertama yang sepatutnya dihantar ke pihak Tentera Laut adalah pada April 2019 tetapi tidak kesampaian.
Begitu juga dengan kapal yang kedua sepatutnya pada Februari 2020, yang ketiga pada Disember 2020, yang keempat pada Oktober 2021, yang kelima sepatutnya pada Ogos 2022 juga tidak menjadi realiti dan kini menanti yang keenam dan sepatutnya siap pada Jun 2023 juga belum pasti akan menjadi realiti.