Belum selesai isu rasuah pembelian kapal selam Scorpene berjumlah RM500 juta disiasat sepenuhnya, timbul satu lagi skandal rasuah lebih besar melibatkan Kapal Tempur Persisir (LCS).
Projek yang menelan belanja RM9.13 bilion ini adalah untuk membina 6 buah kapal LCS yang melibatkan tempoh selama 10 tahun (2013-2023).
Kapal LCS ini adalah untuk kegunaan TLDM yang sudah pasti penting untuk mengawal keselamatan negara di kawasan perairan.
Projek ini sangat baik untuk kedaulatan negara, tetapi dicuri di tengah-tengah jalan oleh mereka yang tamak dan gila kuasa.
Sejumlah RM6.083 bilion sudah dibayar, tetapi satu kapal pun belum siap.
Malahan, pelancaran kapal pertama (LCS1) pada tahun 2017, akhirnya terbongkar oleh siasatan PAC yang ianya kapal belum siap dan ‘olok-olok’.
Kebiasaan kontrak adalah bayaran dibuat mengikut tahap kemajuan projek, tetapi apabila dibayar awal daripada jadual, menunjukkan wujud penyelewengan.
Projek ini dianugerahkan secara rundingan terus kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) yang dimiliki oleh LTAT.
LTAT yang berperanan menjaga kebajikan anggota tentera tidak sepatutnya diheret ke dalam skandal korupsi terbesar Kementerian Pertahanan ini.
Skandal ini cukup besar dan tidak mungkin syarikat awam seperti BNS berani melakukan apa-apa perbuatan jenayah melainkan dengan restu dan campurtangan sang penguasa ketika itu.
Siapa pembesar yang terlibat perlu disiasat secara adil dan telus.
Ketika skandal ini berlaku, Najib Razak adalah PM dan Zahid Hamidi adalah Menteri Pertahanan.
Lebih meruncing apabila didedahkan bahawa Zahid yang meluluskan penukaran rekabentuk dari ‘sigma’ kepada ‘gowind’ yang tidak dipersetujui TLDM.
Kenapa perlu ada campurtangan politik dalam isu ketenteraan yang mana seharusnya diserahkan kepada TLDM yang mempunyai kepakaran.
Malahan, surat teguran bekas Panglima TLDM ketika itu tidak diendahkan kerajaan BN.
Jelas, BN dan rasuah berpisah tiada. SPRM perlu telus dan bebas menyiasat skandal ini.
Sekiranya pendakwaan hanya dilakukan terhadap pegawai kerajaan atau pengarah syarikat sahaja, ianya tidak cukup merungkai rahsia sebenar skandal mega ini tanpa menyiasat Najib dan Zahid.
Rakyat terutama anggota tentera berhak mengetahui dalang sebenar skandal rasuah ini.
Najib tidak perlu spin skandal ini dengan menyalahkan PH. PH telah bertindak betul dengan menyiasat skandal ini melalui Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus.
Apakah ‘ulterior motive’ Najib yang menyalahkan PH sedangkan dia tidak memberi apa-apa pembelaan “derma Arab” seperti mana yang dilakukannya dalam skandal 1MDB.
Kini, Menteri Pertahan Hishammuddin Hussein menjelaskan penghantaran kapal LCS ini lagi 2 tahun, sedangkan kontrak sepatutnya tamat tahun hadapan.
Kelewatan ini menunjukkan projek ini boleh dikategorikan ‘projek sakit’ yang merugikan wang negara.
Malahan, pendedahan penyelewengan oleh PAC ini dilihat sebagai satu perbuatan yang sanggup menggadaikan keselamatan negara.