Putrajaya perlukan solusi parkir kereta terutama di kawasan kuarters kerajaan

Oleh KIM SYAZIE

Jika kita meneliti literature, apakah yang menjadikan sesebuah bandar itu dianggap bandar yang terbaik untuk diduduki, tentu kita akan mendapati faktor-faktor utama seperti sistem perumahan dan pengangkutan awam yang baik.

Antaranya memiliki pelan pembandaran yang akan membolehkan pembangunan di persekitarannya, kemudahan perubatan, kesihatan dan pendidikan yang baik yang  menarik ramai orang kepadanya kerana masing-masing mendapati sesuatu di dalamnya.

Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Negara masih lagi dianggap ramai orang sebagai bandar raya yang selesa, tersusun, cantik dan sejuk mata memandang. Namun awas adakah hari semakin hari kita sudah berkompromi dalam aspek keselesaan penduduknya setelah berlaku peningkatan penduduk?

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, kepadatan penduduk Putrajaya adalah 2,103 orang per kilometer persegi, iaitu dengan keluasan 49.3 kilometer persegi dan dengan penduduk berdaftar seramai 103,700 orang.

Daripada jumlah ini, hanya 3,100 orang adalah bukan warganegara dan selebihnya adalah warganegara. Bilangan isi rumah ialah 33,700  dengan 39,300 buah tempat kediaman.

Mengikut laman sesawang Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan antara lain penginapan kuarters kepada warga Putrajaya, terdapat 22,007 unit kuarters yang disediakan di Putrajaya. Daripada jumlah itu 17,254 merupakan kuarters kelas G dan F, iaitu kuarters jenis apartmen.

Kuarters apartmen berdepan masalah ruang parkir terhad

Kenapa saya memfokuskan kepada kuarters jenis apartmen? Ini kerana kuarters jenis inilah yang menyumbang kepada masalah dan kekangan ruangan parkir kenderaan di Putrajaya berbanding kuarters jenis teres, semi-D dan banglo.

Selain perumahan kuarters, warga Putrajaya juga mempunyai pilihan untuk memiliki kediaman sendiri iaitu di bawah projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan projek Residensi Prihatin Putrajaya yang kesemuanya merupakan kediaman jenis apartmen.  

Berdasarkan rekod di laman sesawang Perbadanan Putrajaya (PPj), projek PPAM di Putrajaya terdiri daripada Palma Presint 11 yang mempunyai 263 unit kediaman, Larai Presint 6 (1,680 unit), Selasih Presint 17 (1,000 unit), Pudina Presint 17 (1,500 unit), Jintan Presint 16 (517 unit), Seruling Presint 5 (1,062 unit), Melinjau Presint 11 (650 unit), Saderi Presint 16 (1,100 unit), Ketumbar Presint 17 (800 unit), Kasturi Presint 17 (404 unit) dan Dalur Presint 18 (500 unit).

Kementerian Wilayah Persekutuan pula dengan kerjasama PPj telah dan akan membangunkan 10 tapak projek pembangunan Residensi Prihatin di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19. Projek ini merupakan perumahan mampu milik dalam kategori kos sederhana rendah di Wilayah Persekutuan dalam usaha Kerajaan membantu golongan sasar B40 untuk memiliki kediaman yang selesa dengan persekitaran yang selamat.

Projek Residensi Prihatin ini melibatkan Residensi Prihatin Melur di Presint 19 dengan 688 unit kediaman, Residensi Prihatin Sentral Presint 7 (2,500 unit), Residensi Prihatin Kenanga Presint 19 (984 unit), Residensi Prihatin Cempaka Presint 19 (838 unit) dan Residensi Prihatin Cengkih Presint 16 (724 unit).

Lebih Padat

Apa yang ingin saya utarakan ialah semakin banyak unit kediaman berbentuk apartmen yang dibina dan ditawarkan di Putrajaya yang hanya berkeluasan 49.3 kilometer persegi dengan jumlah kepadatan penduduk antara yang tertinggi di Malaysia.

Yang membimbangkan adalah sebuah keluarga yang menghuni satu unit apartmen mungkin mempunyai pasangan atau anak-anak yang memiliki lebih dari sebuah kereta sedangkan apartmen hanya menawarkan satu lot parkir sahaja.

Lihatlah betapa banyak kenderaan yang diparkir di sepanjang bahu jalan di luar kawasan apartmen yang mengganggu lalu-lintas dan membahayakan terutamanya pejalan kaki dan anak-anak yang bermain di kawasan sekitar.

Pada hemat saya, PPj perlu menawarkan solusi yang lebih praktikal kepada penghuni Putrajaya seperti kemudahan parkir bertingkat di ruangan tapak kosong di sekitar Putrajaya. Warga Putrajaya pasti menyokong langkah ini. Begitu juga di kawasan pejabat, kemudahan parkir amat terhad dan kritikal sehingga warga kerja berebut mendapatkan ruang parkir.

Putrajaya sebenarnya direka dan dirancang untuk menjadi sebuah bandar raya pintar, selamat dan harmoni untuk didiami kerana di sinilah juga terletaknya Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia yang gah di mata dunia. Banyak negara yang mencontohi langkah Malaysia mengasingkan pusat pentadbiran kerajaan dengan pusat bandar raya komersial.

Semoga kejadian sebelum ini apabila puluhan kenderaan yang diparkir di bahu jalan rosak dilanggar sebuah lori kerana menghalang laluannya, tidak berulang.  Perkara seperti ini wajar ditangani dengan bijak dengan kaedah menang-menang.

Pembinaan monorel di sekitar Putrajaya yang tergendala sejak sekian lama menambah rumit masalah pengangkutan awam di bandar ini. Projek ini amat wajar diteruskan. Semoga PPj, persatuan-persatuan penduduk dan komuniti setempat dapat mencari penyelesaian tuntas dan mengembalikan era kegemilangan Putrajaya sebagai sebuah bandar raya yang cantik dan sejuk mata memandang.


Asmaaalif Abdul Adam adalah Pengerusi Aktivis Sejahtera, sebuah badan bukan kerajaan yang menekuni bidang kesukarelawan dan kebajikan untuk warga bandar.

Baca juga: ‘Kesan mansuh UPSR dan PT3 murid acuh tak acuh nak belajar sebab tak ada target ‘

Baca juga: “Sesuatu sangat” – Kecoh kereta pengunjung ekspo MAHA kena tunda, netizen curiga tiba-tiba banyak lori ‘towing’