Bolehkah kita mengharapkan Pas untuk laksanakan Hudud dan Rang Undang-Undang (RUU) 355 setelah begitu jelas dan ketara apabila ia bukan lagi dilihat menjadikan Hudud sebagai prioriti sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Manifesto AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria melontarkan soalan tersebut setelah melihat seolah-olah Pas tiada lagi agenda Hudud seperti sebelumnya di mana pemimpin tertinggi Pas pernah berkata ‘hudud adalah nyawa kami (Pas)’.
“Jangan lupa Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Hassan Mohamood ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-66, Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), September 2020 pernah berkata agama adalah asas, kerajaan (adalah) pengawal dan kita baru ada pengawal (kerajaan).
“Kerajaan-kerajaan ini ibarat seperti pagar. Jadi sekarang kita kena kukuhkan pagar iaitu kerajaan. Jangan pula bila ditanya bila nak laksana hudud, maka ada pula lontaran seperti ‘soalan ini jangan ditanya’ dan sepatutnya ditanya apa patut kita buat sekarang.
“Namun begitu, seandainya perkara sebegini disebut pula oleh Datuk Seri Dr Mujahid atau pun Khalid Samad sudah pasti hukum yang akan disebut adalah hukum ‘kafir-munafik’ sekaligus datang spontan dan mencurah-curah,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Tambah Dr Zaidi, yang lebih peliknya apabila ditanya mengenai hudud atau RUU355, alasan Pas kini ialah kerajaan ini bukan kerajaan penuh Pas, dan Hudud, RUU 355 bukannya menjadi keutamaan mereka sekarang.
Ini menggambarkan seolah-olah parti komponen kerajaan yang ada bersama Pas itu menjadi penghalang kepada Pas untuk laksanakan Hudud mahu pun RUU355.
Tegasnya lagi, seandainya begitu, apakah hukumnya Pas bersama parti-parti yang tidak mahu laksanakan hudud ataupun RUU355.
“(Dengan sikap) Pas tidak lagi menjadikan Hudud sebagai keutamaan mereka, apakah Pas masih parti Islam atau pun Pas juga sudah setaraf MCA, MIC dan GPS sahaja?” soalnya.
Baca juga: Kisah fitnah PH jual Tabung Haji-‘Siapa buat kerja, siapa yang auta?’