Sampai bila masalah pengangkutan awam khususnya bas di kawasan Penaga, Kepala Batas dapat diselesaikan masih menjadi igauan kepada pengguna khususnya mereka yang saban hari terpaksa menjadikan bas awam sebagai pengangkutan utama.
Masalah ini telah berlarutan sekian lama serta aduan juga telah beberapa kali dibuat kepada pihak terlibat, namun perkhidmatan bas khususnya di laluan 603, Penang Sentral ke Kuala Muda, Penaga masih menyusahkan penduduk sekitar laluan terbabit.
Tinjauan yang dibuat juga mendapati laluan 603 bas Rapid Penang Sentral ke Kuala Muda adalah pukul 7 dan 10 pagi serta petangnya pukul 1 dan 4 oetang dan 7 malam sahaja.
Manakala dari Kuala Muda, Penaga masanya adalah 6 pagi 8 serta 11.20 pagi sahaja dan petangnya pada pukul 2.20 petang serta 5.20 petang sahaja.
Zamri Safbri, salah seorang pengguna tetap setiap hari khidmat bas tersebut yang bekerja di Bagan Luar, Butterworth berkata, aduan telah beberapa kali dibuat kepada pihak terbabit tetapi tidak berjaya diatasi sehingga ke hari ini.
Sebuah bas dengan kekerapan perjalanan dan masa menunggu antara 2 hingga 3 jam untuk mewakili populasi penduduk Penaga sekitar 10 ribu orang adalah suatu penyediaan pengangkutan yang lemah dan menyulitkan pengguna.
Pelajar sekolah dan pekerja yang menggunakan bas ini setiap hari menghadapi masalah kerana jadual kekerapan amat jauh masanya serta hampir setiap minggu ada kerosakan dan juga mesin kad sentuh ‘pas mutiara’ kerap rosak.
“Wakil rakyat kawasan Penaga harus beri perhatian masalah ini dan mengekalkan kekerapan perjalanan bas seperti sebelum 2020 dan melanjutkan perjalanan bas sehingga ke malam,” ujarnya ketika ditemui.
Seorang lagi pengguna, Muhayat Jasmin pula berkata, bukan semua penduduk kampung di kawasan Kuala Muda dan Penaga celik applikasi telefon pintar PULSE yang disediakan pihak kemudahan awam supaya digunakan semasa mendapat khidmat pengangkutan tersebut.
Dia yang bekerja sebagai kerani di Seberang Jaya terpaksa pulang ke Penaga dengan menggunakan khidmat teksi ataupun Grab mahu pun menumpang kenderaan yang lain setelah jadual bas tidak dapat diikuti dan tiada khidmat bas pada waktu malam.
Adalah difahamkan laluan 603 tersebut turut meliputi jalan Kuala Muda, Penaga, Permatang Bendahari, Teluk Air Tawar, Bagan Ajam, Bagan Luar dan Butterworth.
Penduduk kawasan terbabit amat berharap Adun Pas Penaga, Yusni Mat Piah serta Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican memberi perhatian serius supaya masalah yang berlarutan sekian lama dapat diatasi secepat mungkin atau sebelum pilihan raya umum yang akan datang.