Ramai lega apabila Ketua Polis Negara mengumumkan akan membuat siasatan segera ugutan bunuh ke atas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat oleh penyokong Datuk Seri Najib Razak.
Bagi mereka, ugutan ini adalah sebahagian dari taktik untuk melengah-lengahkan perbicaan ke atas Najib selepas segala taktik sebelum ini gagal.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat ugutan tersebut.
Tambahnya, ini merupakan isu serius dan polis telah memulakan siasatan itu meskipun tidak menerima sebarang laporan.
“Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah semestinya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu keamanan,” ujarnya.
Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai wadah media sosial termasuk aplikasi Twitter dan Facebook.
Dalam kejadian terkini, beberapa orang di Facebook didakwa mengancam untuk membunuh Tengku Maimun sekiranya beliau menjatuhkan hukuman terhadap individu yang ‘tidak bersalah’.
Liyana Mohd Poad dalam ruang komen di Facebook Berita Harian yang menyiarkan berita ini berkata, “ini salah satu strategi supaya mahkamah xboleh bersidang. Bila pdrm rasa hakim2 terancam mahkamah berhenti bersidang.tarik masa lagi.”
Namun seorang lagi rakan dalam fb itu, Ari Zan menulis, “Jgn risau… tak jadi RUSUHAN.. sbb yg ni tak sama mcm gang yg dulu-dulu tu…. gang ni dengar kata… percayalah cakap aku….” seolah-olah ada pihak yang mengarah dan mengawal mereka.
Sekurang-kurangnya dua posting dibuat bagi mengugut Ketua Hakim Negara dalam perbicaraan terhadap Najib.
Seorang bernama Apiez Bond menulis dengan mengugut Ketua Hakim Negara agar jangan menjatuhkan hukuman ke atas orang yang kononnya tidak bersalah, “Silap2 pembunuh upahan cari kamu dan bunuh kamu.”
Yang menariknya, komen ini telah dikongsi oleh Umno Online.
Satu lagi komen ugutan dibuat melalui akaun Twitter “TeamBossku #Sokong BN dulu, Kini & Selamanya“. Antara komennya adalah “Jangan sampai ada pertumpahan darah. Kak Mun harus berundur secara terhormat.”
Sebelum ini pelbagai pihak mendakwa Najib cuba sedaya mungkin untuk melengah-lengahkan perbicaraan sehingga selepas pilihan raya umum ke 15.
Dalam masa yang sama beliau bersama Umno mendesak agar pilihan raya umum diadakan dengan segera dengan harapan BN menang dan kes beliau diselesaikan dengan baik selepas itu.
Tindakan Najib menukar peguam di saat-saat akhir rayuannya ke Mahkamah Persekutuan juga didakwa bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraan ini.
Namun yang dikesali pelbagai pihak adalah tindakan beliau yang menganggap beliau pula adalah mangsa ketidakadilan.
Selepas gagal mendapat penangguhan Najib telah menamatkan khidmat para peguam tersebut dan kekal dengan seorang peguam iaitu Hisyam Teh Poh Teik yang diarahkan kekal oleh Mahkamah Persekutuan.
Di Mahkamah Persekutuan semalam, peguam Najib berkata beliau tidak ada sebarang penghujahan lisan apabila diminta oleh hakim berbuat demikian selepas pihak pendakwaan selesai berhujjah.