Hari ini Mahkamah Persekutuan bakal menentukan nasib Datuk Seri Najib Razak, justeru beliau seolah-olah tiada daya untuk melawan takdir apabila menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT.
Perasaan Najib ketika ini hanya maha kuasa sahaja yang tahu dan beliau mengakui Allah adalah sebaik-baik pelindung.
Pagi ini Najib dilihat menulis status maksud surah Surah Al-Imran 3:173 iaitu ‘Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung’.
Perjalanan Najib seterusnya akan ditentukan hari ini sama ada bekas Perdana Menteri itu dapat mengetepikan hukuman penjara dan denda dalam kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd ataupun sebaliknya.
Difahamkan prosiding hari ini melalui panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berhak memutuskan terus rayuan akhir Najib memandangkan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik sejak Khamis lalu menyatakan tidak akan mengemukakan sebarang hujahan pada rayuan tersebut.
Jumaat lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengatakan; “Kita uruskannya Selasa ini.”
Apa yang difahamkan maksud kenyataan itu ialah ‘mahkamah akan terus membuat keputusan’ atau ‘mahkamah akan menangguhkan keputusan rayuan akhir ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian’.
Selain Hakim Tengku Maimun, panel lain yang turut terlibat ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Peguam Najib Hisyam menyerahkan kepada mahkamah sama ingin menggunakan hujah pembelaan yang dikemukakan di peringkat Mahkamah Rayuan pada Mei 2021 ketika membuat penilaian dan pertimbangan kelak.
Hisyam dan pihak pembelaan ketika ditemui turut mengesahkan bahawa Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan untuk mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta pada Selasa ini, 23 Ogos 2022.
Namun, Hisyam yang masih kekal berada di mahkamah sepanjang prosiding walaupun menyatakan Najib pada dasarnya tidak lagi mempunyai peguam bela, berharap panel lima hakim itu tidak berbuat demikian.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.
Baca juga: http://Umno ada 191 bahagian, hadir 74 bukan semua pimpinan Umno busuk atau Najib bos mereka
Baca juga: Hidup miskin, isteri mengandung maut dipukul, dibakar suami