Iklan Super Ring pun penyokong Najib sentap

Oleh NASUHA RAHMAN

Super Ring sangat sinonim dengan Datuk Seri Najib Razak, bagaimanapun penyokong bekas Perdana Menteri itu kelihatan sentap dengan iklan sebuah rangkaian pasaraya terkemuka, AEON Retail (M) Sdn Bhd di Facebooknya.

Sentap dengan iklan tersebut, penyokong Najib mengajak orang ramai agar memboikot pasaraya gergasi itu.

Ini setelah pihak AEON sedar akan populariti makanan ringan terbabit lalu mengambil kesempatan ‘mempromosikan’ makanan yang menjadi bahan ‘troll’ Najib semasa berada di luar penjara satu ketika dahulu.

AEON memaklumkan orang ramai boleh mencari Super Ring di pasaraya itu atau boleh memesan jajan yang sangat popular ketika ini secara online di myAEON2go.

“Min dengar cerita ramai yang cari Super Ring hari ni. Ada je di AEON, atau order di myAEON2go dan min akan deliver kepada anda” tulis admin AEON.

Perkongsian di media sosial rasmi pasaraya itu mendapat respon antaranya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut tumpang semangkuk dengan meninggalkan komen berbentuk emoji terliur.

Iklan Super Ring pun penyokong Najib sentap

“Jom boycott AEON!” komen Sujita Soorian.

“BOIKOT Aeon mulai esuk….Ayuh penyokong DSNR/BN…,” tulis Salleh Ghani.

Tidak kurang juga ada yang mengingatkan pasaraya tersebut agar berhati-hati dengan netizen Malaysia yang boleh melingkupkan pasaraya tersebut.

“Jangan sampai aeon kena boikot… hati² dgn netizen min,” komen Shasha Shahida.

“Aeon pasti akan lingkup. Antara cepat atau lambat saja,” komen Amir Hisyam

Iklan Super Ring pun penyokong Najib sentap

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta dan kini menjalani hukuman di Kajang selama dua hari sebelum dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh bagi baki tempoh penjaranya.

Media melaporkan Najib akan tinggal di sana bagi proses dokumentasi rasmi pihak penjara sebelum dipindahkan secara kekal ke Sungai Buloh.

Baca juga: Muktamad! Bekas PM Najib Razak didapati bersalah dihantar ke Penjara Kajang