Jika benar golongan bukan Islam punca rasuah, mengapa negara Islam corot dalam indeks rasuah?

Oleh KIM SYAZIE

Ramai umat Islam di Malaysia merasa gusar dan resah melihat nasib umat Islam di India.

Sejak Narendra Modhi menjadi Perdana Menteri India, umat Islam di India semakin didiskriminasi dan ditindas. Mereka juga sering menjadi sasaran keganasan.

Penggunaan sentimen keagamaan sebagai uslub siasah semakin meluas untuk melaga-lagakan rakyat. Ahli-ahli politik menjaja kebencian untuk meraih sokongan.

Malangnya, keadaan yang sama telah disemai di Malaysia sendiri. Seruan dakwah dan melakukan kebaikan seharusnya menggunakan uslub mau’izah hasanah, berhikmah dan dipandukan rahmah.

Sebaliknya, kita sering melihat uslub kebencian dan permusuhan dicanang oleh sebahagian agamawan.

Indeks rasuah dunia tunjuk negara Islam berada di tangga agak bawah, corot

Ada yang mendakwa golongan bukan Islam merupakan punca rasuah.

Mungkin ada menyangka beliau hanya menyatakan kebenaran, walau pun ia tidak disenangi.

Namun, jika kita meneliti pada bukti kita akan membuat kesimpulan sebaliknya.

Pencapaian negara-negara di dunia dalam indeks tanggapan rasuah menunjukkan tidak ada satu pun negara orang Islam berada di tangga 20 teratas dari segi integriti dan bebas rasuah.

Sebaliknya, kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia, berada di kedudukan bawah dan menengah.

Dan ini termasuklah negara-negara orang Islam seperti Afghanistan, Somalia dan Libya di kedudukan terbawah walau pun hampir kesemua penduduknya orang Islam.

Ada juga yang berpandangan orang-orang bukan Islam tidak berpegang pada aqidah dan akhlak Islam dan oleh itu cenderung untuk melakukan fasad dan terbabit dalam rasuah.

Pandangan sebegini dibentuk prejudis dan berdasarkan andaian hanya orang Islam yang baik dan semua orang bukan Islam tidak baik.

Namun, ini bercanggahan dengan apa yang kita lihat pada zaman Rasulullah s.a.w. selepas baginda menerima wahyu baginda merasa bimbang dan isterinya Khadijah telah membawa baginda bertemu seorang pendita Kristian, Waraqah ibn Naufal, untuk mendapatkan pandangannya.

Demikian juga, ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah Rasulullah s.a.w. telah menggunakan khidmat seorang juru pandu bukan Islam untuk membawanya dan Abu Bakr ke Madinah.

Sebuah hadith yang diriwayatkan Anas ibn Malik pula menyebut bahwa ketika di Madinah Rasulullah s.a.w. mempunyai seorang pembantu peribadi yang merupakan seorang pemuda Yahudi.

Pemuda ini tetap berpegang pada agamanya ketika berkhidmat dengan baginda. Beliau hanya memeluk Islam apabila telah jatuh sakit dan hampir pada ajalnya.

Kesemua di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melihat ada kebaikan pada orang-orang bukan Islam, berkawan dengan mereka dan menggunakan khidmat mereka.

Adakah ada orang Islam hari ini lebih mengetahui daripada Rasulullah s.a.w. sehingga beranggapan orang-orang bukan Islam itu semuanya jahat, fasad dan perasuah?

Adakah pandangan sebegini selari dengan tauladan yang ditunjuk Rasulullah s.a.w. atau lebih dibentuk kejahilan bertopengkan keagamaan?

Uslub yang menggunakan kebencian dan menjana permusuhan telah membawa kepada persengketaan dan keganasan di India.

Nampaknya di Malaysia ada “saudara kembar” Modhi yang menggunakan uslub yang sama. Kedua-duanya menunggang agama untuk kepentingan politik mereka.

Adakah umat Islam di Malaysia ingin melihat satu hari nanti orang-orang bukan Islam di sini dilayan seperti orang Islam di India?

Tidakkah bibit permusuhan dan kebencian yang disemai hari ini akan membawa kepada malapetaka satu hari nanti?

Inikah Malaysia yang kita ingin wariskan kepada generasi masa depan? Adakah kita inginkan anak-cucu kita mengecam kita satu hari nanti kerana kita gagal menghalang penjaja-penjaja kebencian ini dari menodai agama kita dan melaga-lagakan kita.

Rozhan Othman