Pangkat tidak akan melindungi manusia yang bersalah dari hukuman

Oleh NASUHA RAHMAN

Kita semua sudah biasa mendengar perbincangan hadis berikut:

فقالَ إنَّما أهْلَكَ الَّذينَ من قبلِكُم أنَّهم كانوا إذا سَرقَ فيهم الشَّريفُ ترَكوهُ وإذا سرقَ فيهم الضَّعيفُ أقاموا عليهِ الحدَّ. وأيمُ اللَّهِ ! لَو أنَّ فاطمةَ بنتَ محمَّدٍ سرَقَت لقطعتُ يدَها.

Maksudnya: Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya. Riwayat Tirmizi (1430)

Rasulullah SAW mengucapkan hadis ini apabila Usamah Bin Zaid memohon agar Nabi memaafkan pencuri perempuan bangsawan daripada kaum Bani Makhzum yang telah disabitkan kesalahan.

Walaupun kita semua tahu Fatimah adalah anak perempuan bongsu baginda, di manakah kedudukan Fatimah di sisi baginda?

Fatimah dikatakan lahir selepas Rasulullah SAW menerima wahyu. Dia digelar Al Habibatul binti Habib kerana amat disayangi oleh baginda.

Selepas kematian Abu Talib dan Khadijah, kaum Quraisy di Makkah mula mengambil tindakan fizikal ke atas Rasulullah SAW. Fatimah yang masih anak kecil telah mengambil tempat ibunya untuk menjaga baginda. Itulah sebabnya dia juga digelar Ummu Abiha, ibu kepada bapanya.

Pada suatu hari Uqbah Abi Mu’aith telah meletakkan perut unta ke atas belakang Rasulullah ketika baginda solat. Baginda terjatuh kerana beratnya perut unta demikian. Apabila Fatimah diberitahu berkenaan kejadian itu, dia pun segera pergi ke tempat kejadian dan mengalihkan perut unta itu dari belakang ayahnya sambil menangis.

Rasulullah SAW kemudiannya memujuk Fatimah dengan memaklumkan kepadanya bahawa dia adalah ketua wanita di seluruh dunia.

Fatimah juga disenaraikan di antara 4 wanita yang sempurna imannya. Tiga wanita lain adalah Maryam, Asiah dan ibunya Khadijah.

Beliau juga adalah di antara orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah di kala usia Fatimah 13 tahun. Kita semua maklum akan tingginya kedudukan orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah.

Kita semua juga tentunya maklum bahawa Fatimah adalah isteri kepada Ali bin Abi Talib, sepupu dan sahabat Rasulullah SAW. Fatimah adalah ibu kepada Hassan dan Hussin, cucu-cucu yang amat disayangi oleh baginda.

Jika dibandingkan status dan kemuliaan wanita bani Makhzum itu berbanding dengan Fatimah, tentunya Fatimah lebih tinggi dan mulia kedudukannya. Bahkan, adakah manusia yang masih hidup pada hari ini yang lebih mulia kedudukannya berbanding dengan Fatimah RA?

Oleh itu, apabila Rasulullah SAW mengancam akan memotong tangan Fatimah sekiranya beliau mencuri, itu bukannya satu ancaman yang ringan kerana Fatimah merupakan seorang wanita yang amat mulia dan banyak jasanya kepada Nabi Allah dan juga agama Islam. Dia juga termasuk di dalam sahabat-sahabat yang diredhai oleh Allah SWT.

Kezaliman melalui pencurian dan rompakan adalah perkara yang besar di dalam Islam. Janganlah ianya diringan-ringankan. Di dalam masa yang sama, kemuliaan perompak dan pencuri di sini manusia tidak boleh melindungi mereka apabila didapati bersalah melakukan jenayah-jenayah berkenaan. Tentunya tidak ada di kalangan mereka yang hampir pun dengan kemuliaan dan jasa Fatimah RA.

Baca juga: Muka tiba-tiba berdarah, mainan cucu jalan sendiri jam 3 pagi Ustaz Kazim akan terus berdakwah

Baca juga: Teguran kepada Ustazah Asma’ Harun-“Itu bukan dakwah Islam, tetapi dakwah terpilih”