Setelah kecoh dengan kisah beliau simpati dengan Datuk Seri Najib Razak, Ustazah Asma Harun hari ini menyokong pandangan seorang ustaz dari AMANAH, Zolkharnain Abidin yang meminta pihak berkuasa agama mengawal penyalahgunaan pembesar suara di masjid.
“Setuju tulisan dan apa yang disampaikan.. boleh kah saya berkongsi lebih meluas ustaz?” tulis Asma ketika membuat komen terhadap tulisan Zolkharnain yang sudah tentu membawa konotasi negatif di kalangan sesetengah umat Islam yang memasang pembesar suara keluar masjid bukan pada waktu azan.
Di Selangor, Sultannya mengarahkan semua masjid dan surau negeri itu tidak memasang pembesar suara ke luar selain untuk azan sahaja. Namun di negeri-negeri lain, tidak ada arahan seumpama itu.
Asma pula sebelum ini teruk dikecam oleh netizen apabila menunjukkan simpati kepada Najib yang telah dijatuhkan bersalah oleh sembilan hakim dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan.
“Nampaknya, pembesar suara yang terlalu kuat terutama speaker luar menjadi masalah yang agak relatif besar kepada hampir semua masjid di negara kita. Pihak berkuasa agama wajar tampil membantu pengurusan masjid dan memberi perhatian wajar terhadap isu ini.
“Sebahagian jamaah yang hadir ke masjid, termasuk juga kejiranan masjid mengambil sikap berdiam diri kerana berasa takut, malas, tak kuasa, tak mahu bergaduh dan macam-macam perasaan lagi dengan pengurusan masjid.
“Paling mereka takut ialah dilabel tak sayang agama kerana membenci bacaan al-Quran. Atau dilabel anti masjid atau apa saja label negatif yang melibatkan pegangan agama mereka. Ya, masalah pembesar suara yang terlalu kuat untuk jamaah yang hadir ke masjid, atau speaker luar bagi kejiranan masjid,” tulis Zolkhainain yang jujur dengan perasaan sebahagian masyarakat dalam isu ini.
Menurut Zolkharnain dalam catatan di facebook beliau, kelmarin beliau berada di suatu lokasi yang waktu Maghrib di situ masuk sekitar jam 7.25 pm.
Pada jam 6.45 pm, sebuah masjid sudah memasang bacaan al-Quran dengan speaker luar yang kuat.
“Saya percaya kejiranan masjid itu boleh mendengarnya dengan begitu jelas selama hampir 45 minit sebelum masuk waktu solat.
“Saya tak tahu apa perasaan mereka tetapi saya yakin tidak semua kejiranan masjid itu suka situasi itu. Namun perasaan itu dipendam dengan alasan yang saya sebutkan tadi. Terutama bagi mereka yang uzur, anak kecil atau sesiapa saja yang ada urusan sendiri yang memerlukan suasana hening, mereka hanya mampu memendam rasa dengan situasi itu.
“Ya, kelmarin saya berada di Jambatan Victoria Kuala Kangsar. Mengikut Waze, masjid paling hampir dengan lokasi itu berada pada jarak sekitar 2 km. Bayangkan, pada jarak itu saya boleh mendengar dengan jelas suara bacaan Surah al-Baqarah daripada speaker luar masjid terlibat. Saya boleh mendengarnya sebiji-sebiji walaupun saya tak pasti dari masjid yang mana satu.
“Jika saya boleh mendengar dengan jelas, bagaimana dengan kejiranannya? Saya tak tahu waktu solat yang lain terutama waktu Subuh, tetapi situasi yang berlaku pada waktu Maghrib kelmarin membuatkan hati saya begitu tidak tenang. Tak mungkin suara bacaan al-Quran itu datang dari premis lain selain masjid,” kata beliau.
Beliau meminta agar jangan ada mana-mana pihak yang menuduh beliuau anti bacaan al-Quran sebab beliau sendiri hafal al-Quran.
“Saya ada jadual khatam al-Quran saya sendiri. Jadi, kalau ada mana-mana “lebai” yang mahu melabel saya anti suara bacaan al-Quran dengan tulisan ini, elok kemahuan itu ditahan sahaja. Itu bukan perspektif tulisan ini,” katanya.
Bagi Zolkharnain, tulisan ini mewakili sebahagian, yang boleh jadi kecil sahaja (dan boleh jadi juga majoriti) kejiranan masjid yang tidak selesa dengan pendekatan pengurusan masjid yang memaksa mereka menjadi pendengar bacaan al-Quran dengan cara yang kurang sesuai. Kemahuan mereka untuk menikmati keheningan persekitaran wajar dihormati atas nama kemanusiaan.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa agama wajar ada suatu garis panduan (atau undang-undang) jelas berhubung isu ini.
Garis panduan itu perlu disusuli dengan taklimat kepada pengurusan masjid, seterusnya jika perlu penguatkuasaan supaya pematuhan terhadap garis panduan itu berlaku dengan berkesan. Pihak pengurusan masjid tidak harus dibiar sesuka hati berbuat apa saja di masjid kerana masjid adalah syiar utama agama suci ini.
“Jangan kerana tidak ada suara membantah, bermakna semua kejiranan masjid bersetuju dengan tindakan pengurusan masjid. Masjid kita harus lebih mesra komuniti terutama kejiranannya. Masjid harus lebih hening suasananya. Masjid harus menarik orang bukan meliarkan. Masjid adalah rumah Allah dan Rahmat-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya,” kata beliau.