‘Jika PH perintah, ada yang rasuah hukumlah kami’

Oleh NASUHA RAHMAN

Jika Pakatan Harapan (PH) mula perintah dan ada dikalangan kami yang seleweng dan terlibat rasuah, maka hukumlah kami.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dengan lantang dan tegas menzahirkan kesungguhan melawan rasuah ketika berucap pada program ceramah perdana PH di Kuala Kedah dan kutipan dana pilihan raya AMANAH negeri Kedah di Kuala Kedah, malam tadi.

Kata beliau lagi, bila rasuah berleluasa, yang memberi rasuah kaya dan yang menerima rasuah juga akan menjadi kaya. Namun begitu yang tetap menjadi mangsa adalah rakyat kerana ketirisan dan kebocoran yang dilakukan oleh perasuah.

“Bila PH perintah selepas menang pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, kita siasat rasuah melibatkan Kementerian Pertahanan sehinggakan dapat dikesan kerugian tanah kementerian berjumlah RM500 juta.

” Kini ia melibatkan pula Kapal Tempur Pesisir (LCS). Apabila adanya kegiatan rasuah yang meningkat maka peruntukan kepada rakyat akan turut berkurangan dan rakyat sudah pasti akan menjadi mangsa.

” Keputusan yang telah dibuat melalui sistem kehakiman negara baru-baru ini, diharapkan akan diteruskan dan lebih berani kerana undang-undang tidak mengenal sesiapa,” ujar beliau.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim serta pimpinan AMANAH negeri Kedah.

Baca juga: Demi kuasa, Pas seronok di puncak ingin terus menjadi tongkat Umno