Selepas kahwin, segala perbelanjaan lazimnya pihak isteri bayar tetapi guna duit suami. Itu antara kata warganet secara berseloroh susulan video dimuatnaik Ryan Bakery yang minta duit kekasih untuk mengisi minyak kereta.
Menerusi video ringkas itu, si lelaki lakonan Ryan sendiri meminta RM10 daripada wanita di sebelahnya dipercayai kekasih dengan wajah serius sambil sedikit membebel.
“Orang berak kencing pun bayar lima kupang (50 sen).
“Sweet, sweet tu nantilah, bak duit dulu 10 ringgit duit minyak.
“Orang lain bolehlah belanja awek, dengan saya, tidak,” katanya serius sejurus kekasihnya mengeluh sambil berkata, “tak sweet langsunglah”.

Rata-rata warganet yang meninggalkan komentar bersetuju dengan cara Ryan itu termasuk kalangan wanita sendiri.
“Sebagai perempuan saya sokong. Jika keluar sama-sama, sama-samalah ‘tong’ duit minyak. Makan pun duit masing-masinglah.
“Belum halal, buat apa nak berhabis duit bagai, ‘kan… Bukan berkira tapi lebih berjaga-jaga,” kata Haidah Hashim.
Sementara itu, ramai juga kaum Hawa yang sudah bergelar isteri dan ibu menceritakan kembali pengalaman berbelanja dengan suaminya semasa bergelar pasangan kekasih.
Bagi Aleez Rosli, suaminya dahulu sebelum mereka berkahwin memang akan membayar segala perbelanjaan.
“Memang semua dia yang bayar sebab masa tu kita pun belajar dan kerja cukup-cukup makan je. Dia macam faham dan dia praktis nak biasakan sampai kahwin bagi duit bulan-bulan,” ujarnya.
Seorang wanita lain pula bercerita, semasa tempoh bertunang, masing-masing ‘tong-tong’ duit belanja walaupun tunangnya yang sekarang suami tidak minta wang pun.
“Tapi mau ingatlah, sama-sama nak kumpul duit nak nikah ‘kan… Dah kahwin pun sama, masih give and take, tetapi kebanyakannya suami suruh simpan saja duit, kalau kecemasan tak cukup kewangan, boleh bantu,” jelasnya.
Melihatkan cara Ryan dalam video itu yang ‘ketat’ sahaja wajahnya semasa meminta duit minyak RM10 daripada wanita berkenaan, Myra Noramira pula sambil berkongsikan emotikon ketawa berkata, dia semasa bercinta dahulu amat ‘bernasib baik’.
“Duit dia (kekasih) banyak berhabis untuk saya ada lah. Alhamdulilah, kami nikah juga. Dia cakap kalau tak jadi (nikah), ‘aku cari smpai lubang cacing'”, katanya.
Berbeza pula dengan Faten Nabila, katanya, dia sendiri hulur duit minyak lantaran segan jika tidak berbuat demikian.
“Kalau tak bagi duit minyak pun, belanja makan. Kalau keluar tu kira adil kongsi-kongsi. Alhamdulillah, kahwin dah, tapi sekarang semua saya bayar cumanya guna duit dia,” tambahnya lagi diikuti emotikon ketawa.
Baca juga Jangan datang tambah bebankan pesakit, ini 13 tips ziarah orang sakit
Baca juga “Tua-tua nak jadi penyondol juga”- Netizen kecam wanita dah berusia rampas suami orang