Membantu rakyat yang susah dengan bermaruah mungkin satu penjelasan yang sesuai untuk menceritakan tentang program ‘Jelajah Ehsan Rakyat’ yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor sekarang.
Ini kerana, walaupun sesusah mana hidup sekalipun, agak sukar untuk sesiapa sahaja yang datang untuk beratur mendapatkan bantuan percuma hatta dari kerajaan sekalipun kecuali mereka yang benar-benar tidak ada pilihan lain lagi.
Tetapi, melalui jualan jimat kaw-kaw yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor ini, semua orang sedia beratur untuk membeli barangan yang dipotong harganya kira-kira 30 peratus ini.
Misalnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang pagi ini orang ramai mula datang sejak jam 7.30 pagi lagi untuk mengambil nombor giliran walaupun jualan hanya bermula mulai jam 9 pagi.
“Sambil-sambil kita jogging, boleh beli barangan murah tetapi berkualiti di sini,” kata Puan Rahmah Adnan ketika ditemui di Puteri Central Partk (PCP) tempat di mana jualan ini berlangsung.
Antara barangan yang dijual adalah ayam kira-kira 1.5 kilogram (kg) seekor dijual dengan harga RM10, daging (RM10/kg), ikan kembung (RM6/kg), telur (RM10/papan), beras 5 kg (RM10/kampit) dan minyak masak 5 kg (RM25/botol).
Untuk kesemua barangan ini, harga yang perlu dibayar oleh seorang pembeli adalah RM71 sahaja berbanding harga pasarannya kira RM110.
Menurut poster yang dipasang di tempat jualan ini, kerajaan negeri Selangor menyediakan sembilan trak seumpama ini bagi membolehkan mereka menjelajah sembilan tempat serentak pada setiap hari di seluruh Selangor.
Jualan di PCP, Bandar Tasik Puteri dikendalikan oleh Puan Salasiah Disa yang merupakan Penyelaras DUN Kuang bagi pihak kerajaan negeri Selangor.
Baca juga Kerajaan Selangor kenalpasti tiga kumpulan penerima bantuan RM1,000
Baca juga Keretapi Sarong kembali lagi, ini cara untuk menyertai mereka