‘Ambo kayuh solo wat peloh’ – Apa amalan pesara polis ini hingga masih sihat bertenaga?

Oleh ARIF ATAN

Ambo kayuh solo wat peloh” (Saya kayuh solo buat peluh). Itu antara kata-kata seorang pesara polis yang berusia 72 tahun ini yang mengayuh basikal paling tidak 50 kilometer (km) setiap hari.

Masih bertenaga walau usia melebihi separuh abad, Samsudin Othman dalam masa sama berpegang pada tatacara pengambilan makanan yang diingatkan Rasulullah SAW.

Samsudin Othman

Menurut penduduk Kampung Sireh, Kota Bharu di Kelantan ini, beliau mengamalkan pemakanan sihat dan sehingga kini bersyukur tidak menghidap sebarang penyakit.

“Saya sentiasa pegang kata-kata Rasulullah S.A.W yang mengatakan punca penyakit adalah daripada perut dan atas sebab itu saya sangat menjaga pemakanan.

“Ketika masih berkhidmat sebagai anggota polis dahulu juga saya seorang yang aktif dalam sukan dan sering mewakili daerah serta negeri dalam acara balapan,” dipetik Harian Metro.

Samsudin sempat bergambar dengan rakan pengayuh basikal semalam.

Semalam, anggota Kelab Basikal Kota Jembal (KJCC) ini mengayuh seorang diri sahaja mulai jam 7.30 pagi sejauh hampir 57 km sekitar Kota Bharu.

Kata pesara polis dengan pangkat Lans Koperal berkenaan, sesi memerah keringat dan mengerah kudrat kaki selama 2 jam 5 minit itu berlangsung dalam keadaan selamat.

“Kayuhan keseorangan lagi. Layan angin dan cuaca panas. Rezeki bertemu sahabat-sahabat. Alhamdulillah selamat,” ujarnya lagi.

Walaupun mengayuh bersendirian tetapi pasti berselisih dengan rakan yang sama minat dengannya.

Kalau anda mungkin sedang mencari inspirasi untuk mulai bersenam dengan berbasikal, mungkin warga emas ini boleh dijadikan ikon gaya hidup sihat anda sekeluarga. Mengapa tidak?

Ikuti aktiviti kayuhan basikal beliau setiap hari yang dikongsikan di akaun Facebook, Samsudin Othman.

Peta laluan kayuhan Samsudin pagi semalam sejauh hampir 57 km.

Baca juga Geng paranormal label kawasan ini berhantu tapi lain pula bagi pelari sekitar KL

Baca juga Jangan duduk rumah saja hujung minggu, ini senarai 20 bukit sekitar Lembah Klang boleh pendaki pemula cuba

Baca juga Curang dalam mimpi, lelaki cuba bunuh isteri di dunia nyata